Berita
"Fikirlah Sikit Awak Tu Laki" - Nizam Rahman Dikecam Tak Sensitif, Pergi Stesen TV Islamik Berpakaian Wanita, Ini Penjelasannya...
Personaliti media sosial, Nizam Rahman yang terkenal dengan video-video parodi dalam persalinan wanitanya di Instagram dikecam ketika menghadiri program di sebuah stesen televisyen Islamik pagi tadi.
Nizam atau nama sebenarnya, Hairul Nizam Abdul Rahman, 30, didakwa tidak sensitif apabila hadir mengenakan kebaya dan berambut palsu.
Bahkan, Nizam yang ketika itu sedang melakukan sesi live di Facebook turut menerima teguran pengunjung lain yang hadir sama ketika berjalan masuk ke studio yang terletak di kawasan Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur.
Bahkan, individu tersebut turut menyifatkan Nizam keterlaluan apabila hadir ke Kompleks Pusat Islam yang turut menempatkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai keterlaluan.
"Buat apa eh kat sini? Untuk apa? Pastu kau pakai macam ni. Kau nak pakai macam ni masuk dalam?
"Eh, memang tak bolehlah, ini TV Al-Hijrah. Fikirlah sikit, awak tu laki, tengok tu (ada) JAWI. Mana boleh kau pakai macam ni" tegur individu tersebut dengan penampilan memakai songkok.
Situasi itu kemudian menimbulkan sedikit kekecohan apabila Nizam mendakwa individu berkenaan mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya.
"Kurang ajarnya mulut dia panggil pondan," balas Nizam yang kemudian cuba beransur meninggalkan individu tersebut.
Bahkan, di ruangan komen sesi live tersebut, Nizam yang terkenal dengan karakter Ramona dalam video parodinya itu turut dipersoalkan netizen yang terkejut.
"Seriuslah pakai macam ni?
"Tukarlah baju tu dulu," komen sebahagian warga net.
Bagaimanapun, ketika bersiaran secara langsung di televisyen, Nizam dilihat mengenakan persalinan lengkap berbaju Melayu.
Nizam yang terkilan dengan insiden tersebut kemudian menjelaskan situasi sebenar.
"Masalah timbul bila ada dua lelaki tiba-tiba tegur sound saya. Sebenarnya, saya memang rancang nak tukar baju masa sampai di sana. Kawan siap dah pegang baju lagi.
"Saya berpakaian macam tu sebab sebelum tu ada penggambaran untuk satu produk dan habis agak lewat sehingga 6 pagi. Lepas habis tu saya terus bergegas ke sana untuk program siaran langsung pagi tadi," katanya kepada Gempak.
Jelasnya, biarpun sering tampil dengan karakter perempuan, namun, dia masih tahu batas-batas yang perlu diikutinya.
"Saya ni tak adalah bodoh mana nak berpakaian wanita nak masuk televisyen.
"Nak tegur tapi marah-marah. Cakaplah elok-elok. Apa salahnya tanya sebelum nak sembur," katanya.
Begitupun, Nizam turut memohon maaf sekiranya insiden tersebut turut mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pengikutnya.
"Tak sangka pagi-pagi dah kena maki. Saya minta maaf kalau ada yang tersinggung. Semua ini salah faham," katanya.
Must-Watch Video