Laman Utama
Fikry Ibrahim Tiada Episod Akhir Nusyuz Berkiblat Cinta? Tiba-Tiba Muncul Aiman Hakim, Kenapa Pula?
Drama popular Nusyuz Berkiblat Cinta bakal melabuhkan tirai pada minggu ini. Apa yang peliknya adalah ketiadaan watak utama, Fikry Ibrahim pada pengakhiran cerita.
Mengulas mengenai perkara terbabit, kata pengarahnya, Hadith Omar, Fikry sudah cuba memberikan komitmen terbaik namun berdepan dengan urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan.
"Ketika di penghujung penggambaran drama ini, kami menerima berita ibu Fikry tidak sihat. Sepatutnya Fikry sudah habis penggambaran namun kerana skrip episod akhir masih dalam proses penulisan, Fikry masih memberi komitmen kepada kami. Dia cuba sehabis baik untuk menghabiskan penggambaran drama ini.
"Tetapi untuk beberapa hari terakhir, kesihatan ibu fikry semakin merosot. Jadi saya berbincang dengan pihak-pihak berkaitan untuk bersedia dengan plan B.
"Namun begitu Fikry masih meneruskan penggambaran lagi untuk menghabiskan babak babak yang penting untuk continuity cerita," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai kemunculan Aiman Hakim sebagai watak Syazwan dalam Nusyuz Berkiblat Cinta, kata Hadith, ia bertujuan untuk menguatkan penceritaan.
"Kemunculan Aiman Hakim adalah untuk menguatkan lagi kisah mengapa Hawa menjadi wanita yang sebegitu dan untuk menunjukkan sisi Hawa yang berbeza.
"Aiman melakonkan watak sebagai Syazwan bekas teman lelaki Hawa yang meninggalkan Hawa disaat mahu melamar Hawa untuk menjadi isterinya. Sejak kejadian itu Hawa mula berubah.
"Setiap hari dari hari Hawa ditinggalkan, Syazwan mula menjejaki Hawa dan sentiasa berada disekeliling Hawa tanpa pengetahuannya. Setelah dapat tahu Hawa bercerai, Wan muncul semula dalam hidup Hawa dengan misi untuk mengubah semula Hawa untuk menjadi Hawa yang dulu," tambahnya.
Hadith berharap agar episod akhir drama arahannya itu dapat mendidik penonton dan berpuas hati dengan pengakhirannya.
"Semoga semua yang menjadi peminat drama ini akan terhibur dan berpuas hati dengan pengakhiran kisah ini. Ini adalah yang terbaik kami dapat hasilkan dengan kekangan waktu.
"Semoga pengajaran yang baik dapat digunakan dan apa yang tidak baik itu dapat dijadikan ikhtibar.
"Selain memberi hiburan, tujuan saya berkarya juga adalah untuk menyampai ilmu kepada penonton.
"Penonton sekarang lebih bijak dan intelektual dan perlahan lahan saya dapat rasakan penonton semakin menerima kandungan drama sebegini. Saya dan pihak stesen tv akan cuba terus menerbitkan drama-drama sebegini," ujarnya.
Drama ‘Nusyuz Berkiblat Cinta’ ditayangkan pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 3 April hingga 15 Mei 2022 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Must-Watch Video