Sebuah filem baru berjudul Tulus Ikhlas yang diadaptasikan daripada iklan Hari Raya Aidilfitri bakal bersiaran di Astro First Eksklusif.

Tulus Ikhlas yang diinspirasikan daripada iklan tahun 2012 yang menampilkan dua kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan penglihatan sebuah syarikat padi beras terkemuka tanah air pernah menjadi sebutan suatu ketika dahulu.

Selepas empat tahun, kisah dua sahabat itu diangkat dalam format filem selama 90 minit. Mendapat sentuhan sutradara Hafiz Ibrahim dan olahan skrip oleh Jeffery Yusop, Tulus Ikhlas dibintangi oleh Azmi Bahron, Azri Iskandar, Rahhim Omar, Marissa Yasmin dan ia turut dibintangi oleh pendatang baru, Mohd Safiq Arsad.

Menurut Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, Tulus Ikhlas memaparkan sebuah kisah sisi kehidupan yang jarang diungkapkan kepada masyarakat.

Penonton akan dibawa menyelami isi hati golongan kelainan upaya dan melihat sendiri cabaran serta keperitan yang mereka lalui dalam mengharungi liku-liku kehidupan.

“Naskah ini boleh saya ibaratkan sebagai sebuah pertaruhan berani daripada Astro First Eksklusif apabila meletakkan sepenuh kepercayaan kepada muka-muka baharu dalam industri filem tempatan untuk menggalas peranan utama.

“Pujian harus diberikan kepada setiap pelakon kerana berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan cukup berkesan. Tidak keterlaluan jika saya katakan, faktor mereka yang kurang dikenali sebenarnya amat membantu dalam menghidupkan lagi jalan cerita ini kerana penonto seolah-olah menonton sebuah kehidupan sebenar dan bukannya sekadar sebuah lakonan,” katanya.

Filem Tulus Ikhlas ini merupakan antara karya air mata terbaik yang pernah dipaparkan di Astro First Eksklusif. Jangan lupa saksikan Tulus Ikhlas yang akan mula bersiaran secara eksklusif di Astro First Eksklusif Saluran 480 mulai 20 Februari 2016 dengan hanya RM15.90. Penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.

Teks oleh: Kamaruddin Razal