Laman Utama
Filem Aksi Heist Terbaik Indonesia, Mencuri Raden Saleh Kini Tiba Di Malaysia!
Sebuah filem aksi heist terbaik Indonesia 2022, Mencuri Raden Saleh bakal menemui penonton Malaysia di pawagam seluruh negara bermula 22 September ini.
Terdahulu, filem terbitan Visinema Pictures, Jagartha, Blibli dengan kerjasama Astro Shaw itu telah ditayangkan di Indonesia pada 25 Ogos lalu dan berjaya meraih kutipan lebih 1.2 juta penonton dalam tempoh kurang satu minggu tayangan.
Idea Asal Mencuri Raden Saleh
Menurut pengarah yang juga merangkap penerbit eksekutif, lakon layar dan idea asal filem itu, Angga Dwimas Sasongko mengambil masa lebih kurang selama tiga tahun bagi menyiapkan filem berkenaan. Malah dia turut berbangga apabila filem tersebut mendapat respons positif daripada penonton di Indonesia.
“Idea menghasilkan Mencuri Raden Saleh tercetus pada tahun 2018 dan mengambil masa lebih tiga tahun untuk menyempurnakan dari proses penulisan sehingga ke penerbit dan mengambil masa satu tahun untuk menghimpunkan kesemua enam pelakon anak muda yang menerajui watak utama filem ini.
“Kami rasa amat gembira filem ini berjaya mendapat sambutan baik daripada penonton Indonesia dan mengharapkan kehadiran filem ini di Malaysia juga mampu menerima reaksi baik daripada penonton,” katanya.
Kerjasama Astro Shaw
Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berbesar hati apabila dapat meneruskan kerjasama yang sebelum ini pernah dijalinkan bersama pihak penerbitan filem tersebut.
“Astro Shaw rasa berbesar hati dapat meneruskan kerjasama dengan Visinema Pictures menerusi filem terbaru Mencuri Raden Saleh. Filem aksi heist ini diarahkan oleh pengarah box office Indonesia, Angga Dwimas Sasongko dan kami rasa amat teruja berpeluang berkolaborasi serta bertukar idea kreatif dengan pengarah dan penerbit hebat ini.
“Kami percaya bahawa usaha sama sebegini adalah langkah untuk industri terus maju ke hadapan dalam mengangkat filem ke persada dunia yang lebih mampan. Kami bersedia dan teruja untuk mempersembahkan filem ini kepada peminat dan penonton di Malaysia.
“Tambah lagi jalan cerita yang segar dan genre yang ditampilkan dalam Mencuri Raden Saleh sememangnya menepati cita rasa penggemar filem di Malaysia. Kami harap kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak ini mampu memberi manfaat besar buat penonton,” ujarnya.
Raja Jastina ditemui ketika sesi sidang media dan tayangan perdana filem tersebut yang berlangsung di Mid Valley Velocity Mall, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pelakon Muda Berbakat Besar
Kekuatan filem Mencuri Raden Saleh bukan hanya pada jalan cerita yang segar dan sarat dengan babak aksi mendebarkan, tetapi turut mengetengahkan kisah golongan gen-Z yang dijayakan oleh barisan pelakon muda yang telah mengukir nama menerusi filem-filem box office Indonesia seperti Iqbaal Ramadhan (pelakon filem no 1 genre romantik drama Indonesia, filem Dilan), Angga Yunanda (Habibie & Ainun 3), Aghniny Haque (filem nombor satu paling laris Indonesia, KKN di Desa Penari), Rachel Amanda (Dua Garis Biru), Umay Shahab (Danur 3) dan Ari Irham (Generasi 90an : Melankolia).
Sinopsis
Filem Mencuri Raden Saleh mengisahkan tentang enam remaja yang mempunyai kepakaran berbeza (The Painter, The Mastermind, The Brute, The Negotiator, The Handyman, The Driver) bergabung dan merancang untuk merompak sebuah lukisan Raden Saleh atas arahan seorang yang berpengaruh dan berkuasa. Namun, misi mereka dikhianati dan mereka menjadi buruan polis. Justeru, mereka nekad untuk membalas dendam dengan mencuri kembali lukisan Raden Saleh serta membersihkan nama baik mereka.
Saksikan Mencuri Raden Saleh bermula 22 September ini di seluruh pawagam Malaysia dan turut mengikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.
Must-Watch Video