Filem Arwah Pak Mat Lif & AJK, Kisah Lucu Komuniti Flat! Memang Lawak Habis -“Lif Rosak Satu Hal”
Mya Amri
10/06/2021 13:45 MYT
10/06/2021 13:45 MYT
Hari ini filem Arwah Pak Mat Lif & AJK, karya pelakon dan pengarah Khir Rahman membuka tirainya di Astro First (saluran 480).
Filem komedi naskhah istimewa Khir Rahman selepas 10 tahun ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Joey Daud, Ropie, Taukeh Jambu, Jalil Hamid, Anas Ridzuan, Man Raja Lawak, Sathia, Douglas Lim, Wan Gegau, Nizam Jentik-Jentik, Souya, Che Mat, Kimmy Low, Shendo Kiut, Shiela Mambo dan Wafariena.
Istimewanya, kali ini penonton bakal menyaksikan sisi berbeza Joey Daud menerusi karakter Nordin. Meskipun filem ini ditampilkan dalam genre komedi, namun penyampaian karakter Nordin dilihat lebih serius.
Lebih seronoknya lagi, Arwah Pak Mat Lif & AJK ini mengangkat tentang nilai hidup berkomuniti disamping ada pengajaran yang cuba disampaikan.
Antaranya mengingatkan kesedaran tentang hidup majmuk, mengambil berat tentang jiran tetangga, sentiasa bersapa dan membantu antara satu sama lain agar tiada yang rasa keseorangan.
Menerusi akaun Instagramnya juga, Khir berkongsi satu ayat yang sudah cukup untuk menggambarkan kisah lucu masyarakat dalam filem berkenaan.
“Yang meninggal satu hal… Yang lif rosak satu hal… Yang nak naik pangkat satu hal… Plus dengan macam-macam hal lagi dalam satu-satu komuniti flat.
“Arahan terkini saya, karya kecil berjiwa besar… Hahahaa, skrip oleh @aloyparadoks dan @holyharis,” tulisnya.
Filem Arwah Pak Mat, Lif & AJK terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd ini dibawa terus ke Pawagam Rumah Anda, oleh Astro Shaw menerusi Astro First, saluran 480, bermula 10 Jun, hari ini.
Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.
Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.