Penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa, Datuk Ayu Puteh memfailkan saman terhadap sebuah laman e-dagang berhubung pelanggaran hak cipta dengan menjual tanpa kebenaran sejak Julai lalu.

Saman itu difailkan oleh Pencil Pictures & Record Sdn. Bhd. melalui Tentuan Saiful, Roger & Co dengan menamakan laman e-dagang itu sebagai defendan tunggal.

Defendan telah melanggar hak cipta milik plaintif dengan mengedar dan menjual filem tersebut menyebabkan orang lain turut melakukan perkara yang sama kepada orang awam di laman tersebut tanpa kebenaran atau lesen plaintif sebagai pemilik hakcipta filem itu.

Dalam tuntutan samannya, plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

"Pihak kami memfailkan saman ini kerana laman e-dagang itu telah melanggar hak eksklusif plaintif dan menyebarkannya tanpa kebenaran," kata peguam yang mewakili Pencil Pictures And Record Sdn Bhd, Aizul Rohan Anuar.

Ayu ditemani peguamnya iaitu Aizul Rohan Anuar dan Saiful Dzulhelmi Zulkifli ditemui di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pada 3 Julai lalu, Ayu melalui pengarah filem tersebut, Rahila Ali membuat laporan polis di Balai Polis Damansara terhadap laman e-dagang yang menjual filem AADD dengan serendah RM0.80.

Sebelum ini, Ayu pernah mendedahkan filem AADD menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab menyebarkannya di beberapa platform laman sosial serta aplikasi secara haram.

Dalam pada itu, ibu kepada pelakon Wanna Ali ini berkata tindakan yang diambil kerana ia melibatkan titik peluh penggiat seni untuk menerbitkan sebuah karya.

"Kalau saya diamkan, saya rasa macam saya khianati diri sendiri. Saya seorang individu dan perlukan peguam serta hakim untuk menentukan kes ini.

"Saya akan cuba pastikan dalang-dalang tersebut diambil tindakan. Kita sendiri pun secara peribadi mencari juga dan tak rasa nak undurkan diri serta berhenti di sini sebab benda dah berpuluh tahun... tiada jalan penyelesaian.

"Ada kesalahan kena saman, orang buat jahat masuk lokap tapi benda itu tetap berlarutan. Kalau kita berhenti di sini akan bertambah lagi... kalau kita teruskan akan berkurangan (kes)," ujarnya.

Selain produksi milik Ayu, Syarikat Enuja Production Sdn. Bhd. yang menerbitkan filem Town Mall turut memfailkan saman yang sama pada Jumaat.