Filem Ditunda Akibat Isu Dalaman, Aiman Ameer Harap Penyelesaian Segera - "Memang Saya Sedih Dan Kecewa, Lebih-Lebih Lagi..."
Pelakon, Aiman Ameer meluahkan rasa kecewa apabila filem pertama lakonannya, Strike: Silat Cult Master ditunda dan tidak dapat ditayangkan seperti yang dirancang.
"Tapi saya cuba berfikiran positif. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Saya faham masalah yang dihadapi oleh kedua-dua pihak, dan siapalah saya untuk marah," katanya.
Walaupun kecewa, Aiman tetap berharap filem tersebut akan menemui peminat suatu hari nanti, mungkin menerusi platform penstriman digital.
"Mana tahu pada masa depan, filem ini akan ditayangkan di platform penstriman dan peminat masih berpeluang untuk menontonnya. Saya sudah reda, tawakal, dan berserah. Apa yang penting, saya telah melaksanakan tugas saya sebagai pelakon dengan sebaik mungkin," ujarnya.
"Sejujurnya, saya tidak mempunyai masalah dengan pihak produksi atau pengarah. Yang penting, saya sudah pun melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pelakon.
"Cumanya, saya difahamkan masalah yang timbul lebih kepada urusan kru produksi. Saya hanya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan secepat mungkin," katanya lagi.
Terdahulu, seluruh pawagam di negara ini diarahkan menundakan tayangan filem Strike: Silat Cult Master yang sepatutnya mula ditayangkan hari ini berikutan isu gagal membayar gaji.