Filem 'Dongeng Sang Kancil' Dapat Sambutan, Jadi Pilihan Keluarga Sempena Cuti Sekolah
Pengarah Dongeng Sang Kancil Ahmad Razuri Roseli melahirkan rasa puasnya dengan penghasilan filem 'Dongeng Sang Kancil' yang dikatakan menepati 'kehendak' seperti sebelum ini.
Kata Razuri, dia berharap agar orang ramai terus memberi sokongan kepada filem industri tempatan yang tidak kurang hebatnya.
BERITA BERKAITAN: Dinda Dania Gunakan Seratus Peratus Suara Husky Untuk Watak Arnab
BERITA BERKAITAN: Dongeng Sang Kancil Mengimaginasikan Semula Karakter Popular Cerita Rakyat Dalam Sentuhan Moden
Tayangan sempena cuti sekolah ini juga dilihat memberi kelebihan kepada ibu bapa untuk mebawa anak-anak ke pawagam.
Katanya juga, pemilihan Les' Copaque Production dengan tayangan 'Dongeng Sang Kancil' ketika ini turut memberi kelebihan kepada filem berkenaan yang memulakan tayangan hari pertama pada hari ini.
" Alhamdulillah apa yang saya lihat tayangan kali ini cantik pada waktunya, musim cuti sekolah. Jadi bagi saya ini lebih memudahkan ibu bapa dan mereka yang bekeluarga terutamanya membawa anak-anak mereka ke pawagam.
"Sebenarnya sebelum ini pun kami ada berbincang dengan pihak Astro Shaw bahawa tayangan hujung tahun pada kali ini agak sesuai memandangkan kita lihat tidak banyak filem animasi yang ditayangkan.
"Jadi saya harap kepada mereka yang ada kelapangan masa, datanglah sokong filem tempatan kita. Kerana pelbagai pengalaman dan pengajaran yang kami tampilkan," katanya kepada Gempak.
Razuri yang memegang watak Sang Buaya dalam 'Dongeng Sang Kancil' turut memberitahu, banyak cerita rakyat di negara kita yang menarik dan boleh diketengahkan sebagai filem.
Namun, pada kali ini Les' Copaque Production bagaimanapun memilih kisah mengenai haiwan sebagai tontonan umum.
" Saya yakin kita (Malaysia) memang kaya dengan cerita-cerita rakyat dan ianya memang perlu diketengahkan.
"Tetapi berbeza dengan cerita 'Dongeng Sang Kancil' ini kami mengambil pendekatan untuk memilih dunia haiwan untuk ditayangkan.
"Saya harap ianya diterima ramai dan mampu memberi nafas baharu dalam industri filem kita," katanya.
'Dongeng Sang Kancil' ialah filem animasi terbaharu terbitan Les' Copaque Production yang telah pun ditayangkan di pawagam bermula hari ini.
'Dongeng Sang Kancil' menjadi satu-satunya filem animasi tempatan yang temui penonton di pawagam dan ia mengisahkan tentang seekor Kancil bertekad membalas dendam atas kematian ibunya yang dibunuh kejam oleh Bayang Hitam.
Dengan bimbingan Gagak, Kancil memulakan pengembaraan penuh cabaran, berhadapan tiga pemangsa hebat: Helang Perkasa di langit, Gajah Belukar di daratan, dan Raja Buaya di sungai.
Dalam usahanya, dia perlu mengatasi setiap rintangan untuk menuntut keadilan.
Namun, ancaman semakin besar apabila Bayang Hitam mengalihkan sasarannya ke Hutan Rimba, menggugat seluruh kehidupan binatang di dalamnya.
Kancil mesti bertindak sebelum semuanya musnah.