Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Laman Utama

Filem Eye On The Ball Temui Penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First Bermula 20 Ogos Ini!

Azwa Rahman 18/08/2020 | 04:59 MYT
Filem dokumentari Eye On The Ball (EOTB) akhirnya bakal menemui peminat sukan tempatan bermula 20 Ogos di pawagam rumah anda, Astro First.
Filem dokumentari ini pernah diuar-uarkan untuk tayangan di panggung wayang pada bulan Mac lalu, namun susulan penularan wabak COVID-19, ia terpaksa ditangguhkan.
EOTB menyingkap kisah pahit dan manis sekumpulan anak muda cacat penglihatan yang tekad untuk mengejar cita-cita menjadi pemain bola sepak profesional.
Filem arahan Chen Yih Wen ini menampilkan pemain Asri Arshad, Azwan “Kenchot” Azhar serta Rollen Marakim, membuat keputusan meninggalkan keluarga dan merantau ke ibu negara bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan yang dibimbing jurulatih berpengalaman Sunny Shalesh.
Skuad yang diberi gelaran Harimau Buta tersebut perlu mempertahankan kejuaraan mereka di Sukan Para ASEAN 2017, Kuala Lumpur dan melayakkan diri ke Kejuaraan Bola Sepak Orang Buta Dunia.
Menurut Penerbit Eksekutif EOTB merangkap Timbalan Pengarang Eksekutif R.AGE, Ian Yee, pihaknya teruja filem dokumentari pertama terbitan R.AGE akan menemui penonton di Astro First.
“Kami merasakan kisah mereka yang penuh inspirasi harus dikongsi bersama masyarakat. Lanjutan daripada itu, diharap ia dapat membuka ruang agar ramai di luar sana turut menyokong pasukan ini untuk terus melangkah lebih jauh,” ujarnya.
Dalam pada itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata inilah kali pertama genre dokumentari sukan disiarkan di Astro First.
“Kali ini, Astro Shaw membawakan sebuah filem yang penuh dengan semangat cekal oleh sekumpulan anak muda cacat penglihatan berdepan dengan apa sahaja rintangan untuk menggapai impian.
“Lebih istimewa, genre dokumentari sukan merupakan kali pertama dibawakan terus ke pawagam rumah anda, Astro First.
“Kami sentiasa berusaha untuk bawakan variasi filem berkualiti untuk tontonan penonton Astro. Diharap EOTB dapat memberi inspirasi serta lebih pendedahan tentang kewujudan pasukan ke-18 terbaik dunia ini dalam kalangan masyarakat,” jelasnya lagi.
Menariknya lagi, filem produksi sulung terbitan pasukan kewartawanan penyiasatan R.AGE daripada Star Media Group ini telah berjaya mencipta pencapaian tersendiri apabila EOTB tercalon dalam kategori Dokumentari Asing Terbaik di Festival Filem Oslo pada November 2019 dan tersenarai dalam Media Library, Visions du Reel Industry pada April 2019.
Selain itu, filem ini juga turut berpeluang membuat tayangan perdananya di peringkat antarabangsa di Festival Filem Aperture: Asia & Pasifik pada September 2019.
Saksikan filem EOTB di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 bermula 20 Ogos 2020.
Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem ini, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.
#Bola Sepak #Eye On The Ball #Skuad Harimau Buta
;