HIBURAN
Filem ‘Felino’ Bakal Dibarisi Pelakon Gred A, Idea Tercetus Selepas Melawat Shelter Kucing - “Kita Pun Tahu Kualiti Kerja & Lakonan…”
Filem aksi berjudul Felino yang diterbitkan oleh Art Ornament Sdn Bhd dan Heartwork Pictures Sdn Bhd bakal menampilkan barisan pelakon hebat terdiri daripada Datuk Adi Putra, Shaheizy Sam dan Fify Azmi.
Jangkaan penonton
Menurut rakan kongsi kepada pengarah Art Ornament Sdn Bhd, Aida Othman iaitu Iqbal Mazlan, pihak mereka mengakui berasa bimbang dengan jangkaan penonton namun meletakkan kepercayaan sepenuhnya pada barisan pelakon.
“Kita ada satu prinsip di mana kita percaya pada pemain (pelakon). Sebagai contoh, kita sebagai jurulatih bola sepak dan kita percaya pada pemain bola sepak kita.
“Sebab kita pun tahu kualiti kerja dan lakonan Shahiezy Sam, Datuk Adi macam mana, Fify… kita tahu mereka adalah pelakon yang bagus.
“Memang ada risau (jangkaan orang) tapi kami percaya pada mereka,” kata Iqbal kepada Gempak.
Idea tercetus
Dalam pada itu, Iqbal turut memberitahu idea asal filem tersebut tercetus daripada Aida Othman apabila melawat shelter kucing di Ulu Langat dan bimbang melihag kes penganiayaan haiwan yang semakin berleluasa.
“Saya dan Aida memang ada selamatkan kucing. Jadi, sewaktu saya sihat dan sebelum ada masalah mata, saya ada 21 ekor kucing dan Aida ada 18 ekor.
“Masa saya sakit, saya tak mampu nak jaga. Jadi, Aida tolong hantar kucing-kucing saya di shelter. Waktu itu Aida terfikir satu idea cerita tentang kucing. Tapi kita nak jadikan ia aksi.
“Sebab kalau hanya cerita kucing, jadi dokumentari takut orang tak nak tengok sangat, sebab bukan hiburan. Aida kata apa kata kita buat cerita seorang jahat jadi baik,” ujarnya lagi.
Filem yang mendapat arahan daripada pengarah Areel Abu Bakar itu akan mula menjalani penggambaran pada Ogos depan dan dijangkan tayangan pada tahun hadapan.