Filem romantik komedi bertemakan percintaan sesama lelaki pertama Bollywood berjudul Shubh Mangal Zyada Saavdhan telah diharamkan tayangan di beberapa negara termasuk Kenya dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tindakan itu diputuskan oleh Kenya Film Classification Board selepas beberapa jam filem itu diharamkan tayang di UAE.

"Filem itu lebih teruk daripada yang pernah diharamkan tayangannya apabila ia memaparkan babak homoseksual dalam kalangan kanak-kanak selain perkahwinan sejenis," kata Ketua Pengarahnya, Ezekiel Mutua.

Di Kenya, pelaku homoseksual akan berdepan dengan hukuman penjara selama setahun.

Sementara di UAE, pengharaman tayangan filem itu disahkan sendiri oleh pengarahnya, Hitesh Kewalya.

Shubh Mangal Zyada Saavdhan dilakonkan oleh Ayushmann Khurrana dan Jitendra Kumar, ia mula ditayangkan pada 21 Februari lalu.

Filem itu mengisahkan sepasang kekasih Kartik dan Aman berdepan dengan halangan keluarga hingga memaksa mereka berkahwin dengan wanita pilihan keluarga.

Shubh Mangal Zyada Saavdhan bermaksud jadilah lebih berhati-hati dalam perkahwinan. Ia merupakan kesinambungan kepada filem Shubh Mangal Saavdhan (berhati-hati untuk berkahwin).

Terdahulu, filem bertemakan LGBTQ seperti biopik Elton John berjudul Rocketman pernah diharam tayang di beberapa negara seperti Samoa dan Mesir serta berdepan tapisan di Rusia.

Sumber: Pinknews, FreeMalaysiaToday, New Indian Express