Teraju utama filem Backstage, Sissy Priscillia berkongsi tentang cerita di sebalik pembikinan filem tersebut.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan filem berkenaan sudah dibincangkan pada tahun 2016 lagi, namun terhalang dek kerana kesibukan dirinya dan pihak lain.

Tidak cukup dengan itu, ketika penggambaran mula dilaksanakan, pandemik COVID-19 pula datang melanda.

"Pada awalnya idea sudah ada pada tahun 2016, tapi kemudiannya Encik Rony (penulis skrip, idea asal dan penerbit) sibuk, saya pun sibuk dengan filem-filem lain.

"Perkara itu hampir membuat filem ini hanya menjadi cerita semata-mata. Kemudian, ketika terjadinya filem ini baru tiga hari jalani penggambaran, tiba-tiba pandemik COVID-19 pula melanda," katanya dalam sesi virtual bersama media di Malaysia baru-baru ini.

Justeru, Sissy amat berbangga melihat filem Backstage yang sudah siap menjengah pawagam selepas melalui keterbatasan dalam pelbagai aspek.

"Jadi menurut saya, perjalanan filem Backstage ini luar biasa dengan turun naik yang tersendiri pada masa yang sangat terbatas dengan pelbagai hal.

"Bagaimapun hasilnya sangat bagus dengan kualiti yang baik, selepas ia ditayangkan di Jakarta, para penonton memang beri respon yang luar biasa.

"Saya amat bangga dan optimis dengan filem Backstage," katanya tersenyum.

Difahamkan, penggambaran Backstage diteruskan dengan mematuhi protokol keselamatan selepas tercetusnya pandemik COVID-19 yang berbahaya.

Filem Backstage turut menampilkan adik Sissy, Vanesha Prescilla bersama Achmad Megantara, Aulia Sarah, Karina Suwandi, Ferry Salim, Verdi Solaiman dan Roy Rungkono.

Filem ini diproduksikan oleh Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment hasil kerjasama dengan Astro Shaw & Nusantara, Endeavor Content dan perusahaan teknologi informasi, digital dan telekomunikasi NFC Indonesia.

Nak tahu lebih tentang apa yang berlaku dalam filem Backstage? Jangan lupa saksikannya di pawagam berdekatan anda!