Filem Kita Bukan Gagal Tapi Perlu Realistik

Elrafaei Sapi
Ogos 20, 2018 09:51 MYT
Produser dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam berpandangan filem tempatan tidak gagal dari aspek menarik perhatian produser luar negara untuk melabur dalam negara.
Akuinya, kegagalan itu bukan terma yang tepat kerana kejayaan-kejayaan anak tempatan sebelum ini di peringkat global termasuk filem-filem Malaysia yang dipasarkan di peringkat antarabangsa sehingga kini.
"Namun yang demikian, kita harus realistik untuk terlebih dahulu untuk berjaya diterima di dalam negara," katanya ketika menjadi panel untuk program bual bicara, Kopi Kaw FDAM, baru-baru ini.
Sebagai contoh, beliau merujuk pada filem Hantu Kak Limah yang berjaya mencipta fenomena dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM20.5 juta dalam tempoh 11 hari tayangan yang menunjukkan sambutan positif daripada penonton tempatan.
Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Fauzi Ayob pula berpandangan beliau yakin terhadap potensi dan kekuatan jenama Malaysia sambil menggariskan cabaran daripada aspek 'branding' dan 'visibility' industri sendiri yang harus diperkasakan secara holistik di peringkat domestik dan antarabangsa.
Ujarnya, melalui halatuju baharu FINAS juga memberi penekanan kepada strategi pembangunan produk dan kandungan, pasaran, sistem dan perkhidmatan serta modal insan.
"FINAS dengan kerjasama rakan strategik (Government to Government) seperti badan perfileman negara ASEAN akan terus meluaskan program jaringan ekonomi, galakan, pelaburan, pengedaran dan pemasaran kandungan selain program 'Spotlight' yang terus mempromosikan dan membantu filem-filem Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau juga yakin dengan kekuatan karya-karya dan karyawan Malaysia mampu menembusi pasaran antarabangsa termasuk memberikan peluang kepada penggiat seni tempatan di bawah program integrasi bakat.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Shaw
#Yusof Haslam #Hantu Kak Limah #FINAS