Hiburan
Filem M for Malaysia Wakili Negara Ke Anugerah Oscars
Filem dokumentari M For Malaysia berjaya mewakili Malaysia untuk menyertai anugerah Oscar bagi kategori Filem Antarabangsa Terbaik untuk Oscars ke-92.
Filem arahan Ineza Rousille dan Dian Lee itu mengisahkan perjalanan negara menuju pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tahun lalu.
Tahun ini juga menyaksikan rekod baru Oscars apabila menerima filem dari 93 negara dalam kategori Filem Antarabangsa Terbaik.
Ia merupakan jumlah tertinggi untuk kategori itu yang meningkat dari 92 negara pada tahun 2017.
Tahun ini juga merupakan penyertaan pertama kali dari Ghana, Nigeria dan Uzbekistan.
Menurut The Hollywood Reporter, antara filem yang dijangka menang termasuk Parasite (Korea Selatan) arahan Bong Joon Ho yang memenangi anugerah Palme d’Or di Cannes pada Mei lalu.
Selain itu, turut dijangka akan menang adalah Pain and Glory dari Sepanyol yang dibintangi Antonio Banderas, Les Misérables dari Perancis dan Atlantic dari Senegal.
Antara filem lain dari Asia Tenggara termasuk Memories of My Body arahan Garin Nugroho dari Indonesia, A Land Imagined arahan Yeo Siew Hua dari Singapura, In The Life of Music arahan Caylee So dan Sok Visal dari Kemboja serta Inhuman Kiss arahan Sitisiri Mongkolsiri dari Thailand.
Kesemua 93 filem itu akan disenarai pendek kepada 10 filem yang bakal diumumkan pada 16 Disember.
Keseluruhan pencalonan dalam semua kategori pula akan diumumkan pada 13 Januari 2020 sebelum anugerah itu berlangsung pada 9 Februari.
Must-Watch Video