Masihkah anda ingat pada filem arahan Yasmin Ahmad Mukhsin? Filem yang ditayangkan pada 2006 itu bakal kembali ke layar lebar untuk sehari sahaja pada 26 Mac ini di GSC Mid Valley selepas menerima peningkatan 4K dan dipulihkan secara digital.

Dalam usaha untuk memulihkan karya-karya agung Asia, projek pemulihan filem Mukhsin ini dilaksanakan oleh Pusat Asia Yayasan Jepun (JFAC) dengan kerjasama Primeworks Distribution Sdn. Bhd. dan Imagica Lab di Jepun di bawah seliaan Low Soon Keong, Pengarah Fotografi filem berkenaan.



Projek ini menggunakan cetakan positif 35 mm dan menggunakan teknologi pemulihan filem Jepun yang diiktiraf di peringkat global.

Mukhsin Versi yang dipulihkan telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo (TIFF) ke-33 pada Oktober 2020 dan tayangan khas untuk pelakon dan kru filem itu telah diadakan pada 11 Mac 2022 lalu di Teater Aurum, The Gardens Mall.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh En Amir Rasyidi, COO Tonton mewakili Primeworks Studios, dan Ku Mohamad Haris Ku Sulong, salah seorang Pengarah Lembaga Pengarah FINAS.

Filem ini pernah mengadakan tayangan perdana dunia di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-19 pada tahun 2006 dengan kehadiran Yasmin dan dua pelakon utamanya, Sharifah Aryana dan Syafie Naswip.

Filem ini merupakan filem terakhir daripada trilogi Orked, dan prekuel kepada Sepet serta Gubra.

Selepas ditayangkan, filem ini berjaya memenangi anugerah Generation Kplus International Jury’s Grand Prix of the Deutsches Kinderhilfswerk di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57 (2007).

Info:

Tarikh tayangan: 26 Mac 2022
Masa tayangan: 1PM dan 3:15PM
Tempat: GSC Mid Valley, Kuala Lumpur
Bayaran: Percuma (berdasarkan tempahan). Layari www.jfkl.org.my/events/mukhsin-special-screening/ untuk keterangan lanjut