Hiburan
Filem Sangkar Dimuat Turun Secara Haram, 4 Penerbit Buat Laporan Polis
Filem Sangkar yang diterbitkan oleh empat syarikat perfileman iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment telah dimuat turun secara haram di beberama laman web dan media sosial yang menawarkan khidmat muat turun filem itu secara keseluruhan.
Menurut Nor Shahila Harun Shah selaku Penerbit Eksekutif Primeworks Studios, laporan polis telah dibuat untuk memberi tindakan lanjut terhadap beberapa individu yang bersalah dalam menyebarkan filem berkenaan secara haram.
"Filem Sangkar telah dimuat turun secara haram, kami telah menjumpai beberapa laman web dan media sosial yang membolehkan pengguna memuat turun filem itu.
"Kami juga telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dalam kegiatan haram tersebut, kami menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," jelasnya.
Shahila berkata demikian ketika ditemui di Balai Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Tambah Shahila, dia berharap perkara itu dapat memberi pengajaran kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam kegiatan cetak rompak dan menyokong industri perfileman tanah air.
"Saya harap agar perkara ini dapat memberi pengajaran kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan sebegini lagi.
"Mungkin kesedaran masyarakat belum lagi kuat, jadi kami harus mengambil tindakan yang lebih tegas untuk memberi pengajaran," tambahnya.
Turut hadir di balai polis tersebut adalah Timbalan Presiden Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad.
Sedikit info mengenai Sangkar, filem ini menonjolkan keistimewaan dengan mengetengahkan sukan seni bela diri campuran (MMA) buat pertama kalinya dalam sejarah pembikinan filem di Malaysia.
Bukan itu sahaja, Sangkar juga turut memaparkan elemen persahabatan, kekeluargaan, agama dan banyak lagi.
Ia dibintangi oleh Remy Ishak, Zul Ariffin, Mira Filzah, Ray Era, Nik Adam Mika dan ramai lagi.
Must-Watch Video