Akhirnya penyanyi dan pelakon Aliff Aziz dapat bertemu isteri, Bella Astillah dan anak-anaknya Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Aliff pada sebentar tadi (petang Isnin) telah memuat naik sepotong video di ruangan Insta Story dengan menulis sepotong ayat yang menggambarkan perasaan terujanya dapat bertemu keluarga.

“Finally! Assalamualaikum sayang,” disertai label nama Bella Astillah yang ketika itu sedang memandu kereta.

Sementara itu tinjauan Gempak di laman sosial Bella Astillah pula mendapati, ibu kepada dua orang itu juga berkongsi video suaminya sedang menjamu selera, di Insta Story.

“Alhamdulillah..” tulisnya ringkas pada video yang berlatarkan lagu ‘Tunjukkan’ nyanyian Afgan dan Raisa.

Aliff terpisah selama sembilan bulan dengan Bella dan dua cahaya matanya akibat penularan COVID-19.

Difahamkan Aliff sudahpun menjalani kuarantin seperti yang ditetapkan sebelum dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

Sepanjang 'terpisah' dengan Aliff, Bella menjalani proses kehamilan, bersalin dan berpantang anak kedua bersendirian.

Sudah tentu dapat bertemu dengan Ayden dan pertama kali bertentang mata dengan Ara Adreanna yang kini sudahpun berusia lima bulan akan mengujakan Aliff nanti!

Sebelum ini, Bella yang juga pelakon, penyanyi dan personaliti media sosial, berkongsi klip video Ayden menangis kerana terlalu rindukan bapanya.

Perkongsian tersebut meruntun hati pengikut Bella yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib mereka sekeluarga.