Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
GAYA HIDUP

#FinancialFaiz: Gagal Patuh Undang-Undang E-Hailing Malaysia, InDrive & Maxim Bakal Dihentikan Operasi

Asyraf Roslan 11/05/2025 | 14:55 MYT

Dua platform e-hailing, InDrive dan Maxim dilaporkan akan dihentikan operasi di Malaysia kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Jelas pendidik kewangan, Faiz Azmi, tindakan ini diambil kerana syarikat e-hailing dari Rusia itu tidak memastikan semua pemandu mereka memiliki lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan kenderaan mereka tidak mempunyai permit sah untuk operasi e-hailing.

Faiz turut menegaskan bahawa pemilikan permit dan lesen PSV ini penting kerana khuatir jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

“Operasi syarikat InDrive dan Maxim akan dihentikan kerana tidak mengikuti peraturan yang telah ditetapkan dekat Malaysia.

“Kalau ada apa-apa yang tak kena terjadi kepada keluarga anda semasa menaiki kenderaan daripada syarikat mereka, dekat siapa anda nak salahkan? Nak salahkan kerajaan? Tapi syarikat-syarikat ini yang langgar peraturan, tapi ada juga yang nak marah kerajaan pula,” ujarnya.

Dalam pada itu, Faiz turut mengingatkan betapa pentingnya mematuhi undang-undang apabila menjalankan perniagaan di Malaysia.

“Jadi kita jangan ingat kita boleh main-main bila nak buat bisnes dekat Malaysia. Kita kena ikut undang-undang yang ada. Tiada lesen atau permit, tak perlu teruskan operasi.

“Mereka boleh buat rayuan, tapi keputusan masih lagi di tangan Menteri Pengangkutan,” jelasnya.

Tindakan tegas ini memberi isyarat jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan dan pematuhan undang-undang khususnya dalam sektor pengangkutan awam dan e-hailing yang melibatkan ribuan pengguna setiap hari.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa dua aplikasi e-hailing dari Rusia, InDrive dan Maxim, telah diarahkan untuk menghentikan operasi mereka di Malaysia berkuat kuasa 24 Julai 2025.

Langkah ini diambil susulan tindakan kedua-dua syarikat yang gagal mematuhi syarat peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), terutamanya mengenai pematuhan lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang wajib dimiliki oleh pemandu e-hailing serta memastikan bahawa semua kenderaan di bawah platform.

mereka beroperasi dengan Permit Kenderaan E-hailing (EVP) yang sah.

Pelanggaran ini mengakibatkan kedua-dua syarikat berdepan dengan risiko pembatalan lesen, sebagaimana yang ditetapkan dalam Seksyen 12D(1)(a) akta tersebut.

#Maxim #Pendidik Kewangan #Indrive