Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
GAYA HIDUP

#FinancialFaiz: Nak Pencen 10 Tahun Lagi? Jangan Tergesa-Gesa Beli Kereta Baharu

Asyraf Roslan 03/05/2025 | 12:55 MYT

Pendidik kewangan, Faiz Azmi menasihatkan agar individu yang bakal bersara dalam tempoh 10 tahun supaya tidak tergesa-gesa membeli kereta baharu sebaliknya terus menggunakan kenderaan sedia ada selagi masih dalam keadaan baik.

Menurut Faiz, ramai membuat keputusan membeli kereta baharu terlalu awal kerana takut tidak sempat atau terpengaruh dengan fenomena ‘fear of missing out’ (FOMO).

Namun, tindakan itu boleh merugikan dari segi kewangan dalam jangka panjang.

“Jangan beli dulu, 10 tahun itu untuk sampai pencen lama tempohnya. Kalau anda beli kereta sekarang, nanti bila dah pencen, kereta pun dah 10 tahun. Kereta itu akan jadi usang,” jelasnya.

Faiz menyarankan agar individu menjaga kereta sedia ada dengan baik melalui penyelenggaraan berkala dan penukaran alat ganti penting supaya masih boleh digunakan dengan selamat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Kalau kereta sekarang masih elok, pakai sahaja kereta itu selagi selamat dan boleh jalan jauh. Maintain elok-elok, tukar timing belt, jaga servis, buat benda yang sepatutnya,” tambahnya.

Pada masa sama, Faiz turut mencadangkan agar pembelian kereta baharu ditangguhkan sehingga satu atau dua tahun sebelum bersara.

Bagaimanapun jika kenderaan lama sudah terlalu uzur dan ciri keselamatannya tidak lagi memadai, barulah dipertimbangkan untuk diganti.

“Nanti bila dah tinggal satu atau dua tahun nak pencen, barulah anda tengok balik. Kalau kereta yang sedia ada itu dah uzur sangat dan safety features pun dah barai, barulah cari pengganti.

“Dan masa nak tukar nanti, jangan beli kereta baharu terus. Cari kereta yang terpakai yang baru 2 atau 3 tahun sebab kita nak elakkan depreciation tahun pertama, kedua dan ketiga itu memang akan jatuh teruk. Rugilah kereta itu jadi mahal.

“Kereta makin lama makin murah ataupun harga dia maintain, cuma features dia jauh lebih baik. Kalau beli awal sangat pun, bila betul-betul nak pakai waktu pencen itu, kereta pun dah jadi besi buruk. So sabar itu adalah savings kita,” katanya lagi.

#Pencen #Pendidik Kewangan #Faiz Azmi #Kereta Baharu