Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

FINAS Bantu Syarikat Produksi Menerusi Insentif Saringan Prihatin Dalam Tempoh PKPB

Asraf Aided
15/10/2020 06:50 MYT
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sedia maklum dengan kebenaran menjalani aktiviti penggambaran sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan syarat mematuhi garis panduan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ekoran itu, FINAS juga menggalakkan semua syarikat produksi yang terlibat dengan aktiviti penggambaran sepanjang tempoh PKPB ini untuk melakukan ujian saringan atau 'swab test' COVID-19 ke atas semua kru produksi dan artis yang terlibat.

Justeru, pihak FINAS akan melaksanakan Insentif Saringan Prihatin kepada syarikat produksi yang melakukan 'swab test' COVID-19 keatas kru dan barisan artis yang terlibat dalam penggambaran dalam tempoh PKPB ini.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan pada 14 Oktober 2020, FINAS menyatakan inisiatif itu bertujuan untuk memastikan keselamatan dna kesihatan kru produksi dan barisan artis sentiasa terjamin di lokasi penggambaran sekaligus menghentikan penularan wabak COVID-19 di negara kita.

Insentif Saringan Prihatin tertakluk kepada perkara-perkara seperti di bawah.

1. Syarikat-syarikat produksi yang menjalankan aktiviti penggambaran dalam tempoh PKPB iaitu dari 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020 sahaja.

2. Kos saringan ‘swab test’ COVID-19 ke atas kru-kru produksi dan barisan artis hendaklah ditanggung terlebih dahulu oleh syarikat produksi dan perlu mengemukakan dokumen tuntutan kepada FINAS.

3. Tuntutan insentif hanya melalui syarikat produksi yang berdaftar di bawah FINAS sahaja.

4. Kadar maksimum bagi tuntutan insentif ini berjumlah RM5,000 bagi setiap
syarikat produksi.

5. Saringan ‘swab test’ COVID-19 hanya boleh dilakukan melalui Pakej Khas FINAS di klinik panel berdaftar iaitu Megaklinik Zahran, Bandar Baru Bangi sahaja. Pihak Megaklinik Zahran, Bandar Baru Bangi juga boleh menjalankan ujian saringan di lokasi penggambaran yang dipersetujui.

Pihak produksi yang ingin melakukan ujian saringan boleh hubungi pihak Megaklinik Zahran, Bandar Baru Bangi seperti butiran berikut :

MEGAKLINIK ZAHRAN BANDAR BARU BANGI
Plaza Paragon Point, Jalan Medan Pusat Bandar 5,
Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.

No. Tel : 03-89122524 / 012-5060151 Cik Nabilah Muhamad Shahrel untuk urusan temujanji.

Pihak FINAS berharap dengan bantuan insentif yang disalurkan ini dapat meringankan beban terhadap syarikat produksi yang menjalankan aktiviti penggambaran dalam tempoh PKPB.
Sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan Unit Komunikasi Korporat di talian 03-7968 2182 atau emel di info@finas.my.

Kredit Foto : Astro AWANI
#FINAS #PKPB #Insentif Saringan Prihatin