Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memohon pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi kelonggaran dan membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan.

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid menerusi sebuah kenyataan berkata, permohonan tersebut dibuat demi memastikan ekonomi industri kreatif tidak terjejas.

Zakaria berharap MKN memberikan pertimbangan sewajarnya dengan membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan dalam premis tertutup dan studio.

Beliau berkata, perlaksanaan PKP 2.0 yang dilanjutkan sehingga 18 Februari ini memberi kesan kepada pendapatan pekerja bebas (freelance) yang bekerja dalam industri.

"Seperti sedia maklum, industri kreatif Malaysia digerakkan oleh para penggiat industri yang bersifat freelance.

"Tentunya, pelaksanaan PKP 2.0 sejak 13 Januari lalu memberi impak kepada sumber pendapatan mereka berikutan aktiviti penggambaran yang tidak dibenarkan.

"Lebih-lebih lagi, lanjutan tempoh PKP 2.0 sehingga 18 Februari ini juga akan memberi kesan yang lebih buruk dan menjejaskan pendapatan mereka serta berupaya melumpuhkan ekonomi industri kreatif tempatan sekiranya aktiviti penggambaran masih tidak dibenarkan beroperasi," katanya.

Tambah beliau lagi Finas sebelum ini sudah mengambil langkah proaktif dengan memohon MKN memberikan kelonggaran dan membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan di kawasan yang dikuat kuasakan PKP sejak awal pelaksanaan PKP 2.0.

"Kami juga sudah menghantar kertas cadangan prosedur operasi standard (SOP) penggambaran dalam studio kepada MKN melalui Bahagian Pembangunan Kandungan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Bagaimanapun, hingga kini, masih belum menerima apa-apa maklum balas MKN,” katanya.

Sehubungan itu, FINAS berharap agar MKN memberikan pertimbangan dengan membenarkan penggambaran merangkumi drama, telefilem, livestreaming, dokumentari dan sitkom tanpa penonton berdasarkan beberapa asas pertimbangan.

"Pertama, industri kreatif antara sektor yang menjadi penyumbang pertumbuhan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kedua, pelaksanaan PKP 2.0 sudah menjejaskan pendapatan dan ekonomi penggiat industri kreatif berikutan aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di kawasan yang dikuat kuasakan PKP.

"Ketiga, pematuhan SOP ketat oleh penggiat industri kreatif ketika menjalankan aktiviti penggambaran sudah membuktikan semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan tiada kluster COVID-19 yang wujud berpunca daripada aktiviti penggambaran.

"Finas sedia bekerjasama dengan MKN melalui pasukan penguatkuasa daripada Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas bagi memantau dan memastikan pematuhan SOP sekiranya aktiviti penggambaran dibenarkan," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa pelaksanaan PKP 2.0 dilanjutkan sehingga 18 Februari ini di seluruh negara kecuali Negeri Sarawak.