BERITA
FINAS Sudah Jadi Badan Kebajikan, Tidak Lagi Relevan - Hassan Abd Muthalib
Pengkritik filem terkenal, Hassan Abd Muthalib berpandangan kewujudan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) tidak lagi relevan dalam memajukan industri perfileman tempatan.
Ujarnya, FINAS didakwa seperti jabatan kerajaan yang asyik menunggu arahan, tidak proaktif anda tidak turun padang untuk mendapatkan maklumat yang tepat.
"Ia kini sudah menjadi badan kebajikan. Memberi dana tetapi tidak memantau sama ada dana diguna seperti yang dijanji," katanya menerusi Facebook.
Tambahnya, dana yang dijanjikan untuk projek yang jelas bertaraf antarabangsa tidak diberikan.
"Janji tidak ditepati. Sebaliknya, mereka yang gagal dengan projek-projek sebelumnya diberi lagi dana.
"Tidak ada ketelusan, tidak memaklumkan tentang projek berdana yang gagal, agar ianya menjadi panduan untuk pemohon dana seterusnya," katanya.
Baginya, penggiat seni yang memohon dana kerajaan tetapi gagal melaksanakannya sepatutnya diumumkan kepada industri setiap tahun.
"Tidak ada pemantauan ke atas projek kursus atau bengkel yang berdana beratusan ribu. Apakah ada diminta maklum balas daripada agensi atau institusi di mana latihan dibuat untuk mengetahui samada ia berkesan atau mencapai objektif?
"Tidak ada tindakan untuk membetulkan keadaan selepas filem berdana gagal di box office, terutama kerana tidak ada strategi pemasaran," katanya.
Beliau juga menyatakan FINAS hanya relevan untuk segelintir yang berkepentingan dan bukan untuk keseluruhan industri.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Must-Watch Video