Hiburan
Fiqri Jelani Digelar Mat Jenin Oleh Rakan Sekampung Kerana Mahu Jadi Penyanyi
Pendatang baru, Fiqri Jelani memberitahu ejekan dan hinaan rakan-rakan sekampung menguatkan semangatnya untuk terus bergelar penyanyi dan pencipta lagu.
Fiqri, 25, berkata, bukan setakat menghina mereka turut menggelarkan dirinya Mat Jenin dan menganggap dia melakukan perkara sia-sia.
Tambah Fiqri, dia semakin tertekan selepas ibunya meninggal dunia pada tahun 2012 kerana penyakit barah hati.
“Selepas ibu saya meninggal dunia, saya rasa jiwa saya kosong dan sering menjadikan lagu nyanyian Apit daripada kumpulan Baron Bros (band dari Singapura) sebagai inspirasi.
“Daripada lagu nyanyian Apit, saya mendapat ilham untuk mencipta lagu dan lirik sendiri. Ketika itu saya masih tinggal di kampung dan selepas kawan-kawan tahu saya mencipta lagu, saya terus menjadi mangsa ejekan dan sindiran mereka,” katanya.
Tidak tahan diejek, Fiqri berpindah ke Rawang dan menumpang di rumah pangsa milik rakannya.
“Sejak berpindah ke Rawang, hampir dua tahun saya tidak pulang ke kampung kerana malu diejek kawan-kawan.
“Walaupun macam-macam mereka ‘kata’, saya teruskan minat mencipta lagu dan muatnaik dalam Youtube. Apabila rakan-rakan di kampung nampak saya di Youtube, mereka gelar saya ‘budak Youtube’ pula.
Namun, bagi Fiqri, dia tidak akan patah semangat dan akan terus membina impian dan mengejar cita-cita menjadi penyanyi terkenal.
“Saya terkejut apabila Sony Music memberi peluang kepada saya selepas Pengarah Pemasaran Sony Music, Aziana Ali, mendengar nyanyian saya di Youtube.
“Jika dulu saya dihina, kini saya disanjung serta mengaku saya ‘orang kampung’ mereka,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.
Fiqri kini berulang alik dari Slim River ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan single pertamanya ‘Terlalu Merindu’ ciptaan Eddie Hamid yang dilancarkan pada 31 Mac lalu.
Sehingga kini Fiqri sudah mencipta lebih 200 lagu tetapi hanya 20 lagu saja dimuatnaik ke Youtube.
Sementara itu menurut pengarah pemasaran Aziana Ali, dengan bakat dan kesungguhan yang ada pada Fiqri, dia yakin penyanyi itu boleh pergi jauh dalam industri muzik tanah air.
“Untuk menerbitkan lagu baru, kami melihat kepada ‘current sound’ dan jenis muzik yang ke udara di radio. Dari segi imej, kami mahu dia kekal dengan imej rock tetapi kemas,” katanya.
‘Terlalu Merinduimu’ boleh dimuat-turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Raku, Spotify dan Yonder Music.
Must-Watch Video