Penyanyi dan bintang Gegar Vaganza 2019 (GV2019), Sham Visa berkongsi matlamat peribadinya dalam penjagaan kesihatan.

Menurut Sham, dia mahu menjadi lebih sihat dan cergas pada usia 50 tahun.

"Aspek penampilan dan kecergasan adalah satu perkara penting dan tidak semestinya diketepikan jika usia sudah meningkat.

"Secara peribadi, saya ada satu matlamat iaitu mahu menjadi sihat dan cergas pada usia 50 tahun, saya gelarkannya 'fit at 50'.

"Sekarang usia saya sudah mencecah 49 tahun, jadi, ada setahun lagi untuk saya mencapai misi itu," kata Sham.

Dalam pada itu, Sham menambah, dia juga berhasrat untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik hingga ke penghujung hayatnya.

"Saya pernah terfikir, ketika saya meninggal dunia nanti, jika Tuhan mengizinkan, biarlah saya pergi dalam keadaan yang sihat," tambahnya.

Dalam perkembangan terbaru, Sham kini tercalon dalam lima senarai teratas kategori Fesyen MeleTOP dalam Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020).

Dalam kategori tersebut, Sham bersaing dengan empat bintang lain iaitu Fazura, Alif Satar, Mira Filzah dan Syafiq Kyle.

AME 2020 akan bersiaran secara langsung pada 12 April ini. Pertama kali dalam sejarah anda boleh menyaksikannya dalam kualiti 4K UHD. Naik taraf percuma tersedia buat pelanggan Astro yang layak, hubungi 03-7490 8000.