Laman Utama
Fitri Haris Disenarai Antara Individu Paling Berjaya Di Malaysia Oleh Ensiklopedia BritishPedia, Semak Balik Kehebatan Penyanyi Nasyid UNIC Ini!
Kejayaan dan pencapaian yang diraih penyanyi nasyid, Fitri Haris selama ini mendapat perhatian positif apabila disenaraikan antara individu paling berjaya di Malaysia (Successful People in Malaysia) melalui buku ensiklopedia BritishPedia Edisi ke-4 bagi tahun 2022, terbitan British Publishing House, United Kingdom.
Usahawan pelbagai bidang dan juga penyanyi nasyid UNIC ini berkata, pengiktirafan sebagai Successful People in Malaysia memuatkan biografi personaliti-personaliti dan tokoh-tokoh yang berjaya serta memberi sumbangan kepada masyarakat dalam bidang dan kepakaran masing-masing.
"Penghargaan ini amat bermakna buat saya kerana meletakkan saya sebaris tokoh-tokoh ternama penerima sebelumnya seperti Tun Dr. Mahathir, Tan Sri Quek Leng Chan dan juga Tan Sri Tony Fernandes.
Advertisement
"Prosesnya bukan mudah kerana saya perlu menjalani temubual tiga bulan lepas untuk pastikan kesahihan maklumat.
"Bila mereka dah kaji latar belakang dan pencapaian, barulah 'entitle' dapat 'certificate' dan dimasukkan dalam ensiklopedia. Saya baru dapat sijil ini. Prosesnya sangat rapi dan profesional.
"Ini adalah pengiktirafan ketiga saya dalam tempoh dua tahun setelah menerima ASEAN Inspiring Awards 2021 di Surabaya, Indonesia dan Top Young CEO 2021 di Kuala Lumpur," katanya.
Pengiktirafan ‘Successful People In Malaysia 2022’ yang akan dimuatkan di dalam Ensiklopedia Britishpedia 2022 akan dilancarkan pada akhir tahun ini dan boleh didapati di perpustakaan-perpustakaan seluruh Malaysia dan beberapa negara di dunia seperti Singapura, Jerman, Slovakia, Austria, Czech Republic, Hungary dan Poland.
Kronologi kejayaan Fitri Haris
Untuk rekod, pada 2015, penyanyi nasyid ini menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di University of Nottingham, United Kingdom dalam bidang Musicology.
Menerusi usahanya yang mengambil masa selama empat tahun, Fitri
berjaya melepasi sesi Viva Voce PhD iaitu sesi pembentangan dengan panel mengenai kajian yang dibuat dan lulus dengan suntingan minor.
Pada 10 Disember 2019, beliau secara rasmi bergelar Dr. Fitri Haris apabila ke United Kingdom (UK) untuk menghadiri majlis konvokesyen di universiti terbabit.
Lebih manis apabila Fitri, 37, ditemani oleh kedua ibu bapa pada hari bersejarahnya sebagai penerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang muzik Islamik.
Fitri Haris pensyarah UUM
Tidak terhenti setakat itu, juara Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2) yang juga pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM) ini turut berkecimpung dalam bidang perniagaan apabila memiliki sebuah klinik di bawah pengurusan Megaklinik Zahran di Taman Putra Ampang, yang dikongsi bersama isterinya pada September tahun lalu.
Fitri berkata, tanpa disedari pengalaman lebih 20 tahun bergelar anak seni, ahli perniagaan, pegawai penyelidik, perunding perniagaan, pemasaran, media dan akademik telah melayakkannya menerima pengiktirafan tersebut.
Selain bergelar ahli akademik di UUM, Fitri juga menjadi ikon akademik untuk beberapa organisasi kemasyarakatan di Malaysia seperti Peduli Insan Malaysia dan Muslim Volunteer Malaysia.
Beliau tidak membataskan pembabitannya pada satu bidang sahaja apabila turut serta dalam bantuan misi kemanusiaan di Lebanon buat pelarian Syria, mangsa banjir di Malaysia dan banyak lagi.
Dalam bidang akademik, Fitri terbabit untuk kajian muzik Islam melalui modul ‘This is Nasyid’ hasil kerjasama bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Restoran Fitri Haris luar negara
Penglibatan Fitri dalam pelbagai jenis perniagaan bersama isterinya menyaksikan mereka kini mempunyai cawangan restoran Amazing Thai di Nottingham, United Kingdom, butik pakaian kelengkapan haji dan umrah di bawah penjenamaan Haqqi dan Al-Mukarramah, pemaju perumahan rezab Melayu di bawah syarikat Yanimas Jaya Sdn. Bhd.
Fitri juga menjadi perunding media di beberapa syarikat dan organisasi di Malaysia.
Must-Watch Video