Hiburan
Fitri Tak Kisah Bergelar Penyanyi Dangdut
Juara program Dangdut Star, tidak kisah bergelar penyanyi dangdut dan tidak malu untuk menjadi pelapis genre muzik tersebut.
Fitri atau Fitri Haswady, 26, berkata, dia bersedia berhadapan dengan cabaran yang bakal dihadapi sekiranya bergelar penyanyi dangdut kelak.
“Selepas Iwan, rasanya tiada lagi penyanyi lelaki membawakan genre dangdut. Jadi saya sangat bersedia untuk menerima kecaman dan cacian dengan hati yang terbuka.
“Rasanya tanpa teguran mereka diluar sana, saya tidak mampu untuk bergelar juara dalam program Dangdut Star,” kata Fitri kepada Astro Gempak.
Fitri ditemui selepas majlis tayangan istimewa Pentas Gelek Akhir Dangdut Star di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, pada malam Rabu.
Tambah Fitri lagi, dia percaya kemenangan di Dangdut Star kerana pengalamannya menyertai pertandingan nyanyian di Indonesia sebelum ini.
“Bulan November tahun lalu saya dan beberapa penyanyi seperti Mimi One Nation Emcee dan Shiha Zikir terpilih untuk mewakili Malaysia untuk menyertai program nyanyian D’akademi Asia dan saya berjaya memenangi tempat keempat.
“Alhamdulillah pengalaman di D’akademi Asia sedikit sebanyak membantu saya untuk menjuarai program Dangdut Star dan bagi saya ia satu pencapaian besar kerana saya bukan seorang penyanyi profesion,” ujarnya.
Selain itu, dia turut percaya irama dangdut mampu memberi peluang kepadanyta untuk mengembangkan karier seni selepas ini.
“Saya terima sekiranya irama dangdut memberi rezeki tetap dan sekurang-kurangnya mereka diluar sana kenal siapa dia Fitri Haswady walaupun ramai penyanyi tempatan lebih menyerlah dan dikenali dengan irama balada,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kemenangannya menerusi program Dangdut Star, Fitri mengakui persembahan gaya Broadway memberi kelebihan kepada dirinya berbanding tiga finalis yang lain.
“Sebelum ini saya aktif terlibat dengan teater muzikal seperti P.Ramlee The Musical, Chow Kit Road The Musical dan banyak lagi. Saya rasa persembahan pentas akhir adalah dedikasi atas usaha saya selama ini yang bermula dari bawah.
“Saya ambil setiap pengalaman yang ada untuk dipersembahkan kepada barisan juri dan penonton. Kalau ada rezeki saya cuba bawakan kelainan seperti itu dalam setiap persembahan saya, Insya Allah,” ujarnya.