Fizi Ali Tak Tahan Sebak, Menangis Rindu Anak - “Hampir Dua Bulan Tak Jumpa…”
Mya Amri
22/01/2024 09:55 MYT
22/01/2024 09:55 MYT
Penyampai radio, Fizi Ali gagal menahan sebak apabila ditanya mengenai anaknya, Ameena Sofia.
Menurut Fizi, sudah hampir dua bulan dia tidak bertemu Ameena iaitu tempoh paling lama berjauhan dengan anak kesayangannya itu.
“Saya sangat sangat rindukan anak saya, sudah dua bulan tak jumpa anak.
“Saya rasa ini adalah waktu paling lama saya tidak berjumpa dengan anak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fizi juga akui terkilan apabila prosiding sulh bagi membincangkan hak hadanah anaknya tidak mencapai kata sepakat dengan bekas isteri iaitu pelakon Shakilla Khoriri.
Fizi berkata dia mahu menamatkan segala isu yang berlaku dengan segera, namun terpaksa akur apabila bekas isteri tidak bersetuju dengan permintaanya.
“Ya memang betul (terkilan), saya harap sepatutnya habiskan hari ini, saya dah penat dah.
“Yang saya boleh bagitahu, kedua-dua belah pihak tidak mendapat kata putus dan persetujuan untuk hak penjagaan anak. Akan dibicarakan dalam mahkamah.
“Shakilla tidak bersetuju dengan permintaan saya. Antara tuntutan pihak saya adalah mengenai hak lawatan dan hadanah kekal.
Fizi berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas prosiding sulh mengenai kes hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pada Rabu.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Februari ini bagi pengurusan kes seterusnya.
Dalam pada itu, Fizi berkata isu membabitkan hak penjagaan anak tidak seharusnya diperbesarkan.
“Sepatutnya perkara ini tidak menjadi masalah besar, anak itu layak mendapat kasih sayang sama rata. Sebelum ini okay sahaja kami berbincang tentang anak.
“Boleh sahaja diselesaikan di luar mahkamah, boleh bincang dengan cara baik oleh kedua-dua pihak,” jelasnya.
BERITA TRENDING: “Fail Hadanah Bukan Nak Berebut Anak Tapi Untuk Dapat Kasih Sayang Sempurna” - Fizi Ali
Sebelum ini, Fizi menerusi hantaran di Instagram meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat berjumpa anak tunggalnya ketika hari graduasi.
Dia kemudian mendakwa Shakilla telah menyekat nombor telefonnya dan tidak boleh dihubungi.
BERITA TRENDING: Sedih Fizi Ali Datang Majlis Graduasi Anak Tapi Anaknya Tak Muncul-Muncul!
Susulan itu, Fizi terpaksa membawa tuntutan hak penjagaan anak ke mahkamah.
Imbas kembali, Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shakilla pada 18 Februari 2018, namun bercerai dua tahun kemudian.