Sebuah akaun Instagram dipercayai milik individu bernama @fazeeranazriaz mencetuskan teka-teki ramai dipercayai mungkin dia isteri baharu kepada pelakon Fizo Omar.

Biar hanya berkongsi dua keping gambar, akaun yang juga tidak memiliki jumlah pengikut yang ramai itu juga meletakkan foto Fizo berbaju Melayu putih di profil utamanya.

Malah, beberapa foto dalam akaun terbabit juga dilengkapi dengan gambar seorang wanita yang anggun mengenakan baju nikah berwarna putih.

Tulis pemilik akaun berkenaan ringkas bersama kapsyen berbunyi 'Syukur' dan 'Alhamdulillah'. Namun, ruangan komen kedua-dua foto berkenaan telah ditutup.

Selain itu, terdapat juga sekeping foto seorang lelaki yang tidak kelihatan wajahnya sedang menyarungkan cincin di jari manis wanita berkenaan.

Akaun itu juga menggunakan nama Fizo Faz dan hanya mengikuti akaun milik usahawan dan pelakon lelaki itu.



Fizo pada Khamis telah mencetuskan tanda tanya ramai apabila memuat naik foto dirinya memakai baju Melayu putih lengkap bersongkok.

Tulisnya; "Okey Abe Joe left group recond dulu okey. Apa-apa roger ok."



Meninjau ruangan komen Instagram Fizo, ada beberapa pengguna yang mendedahkan identiti wanita terbabit difahamkan berasal dari Sarawak dan bekas pramugari syarikat penerbangan terkenal antarabangsa.

Untuk rekod, Fizo pernah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan, Mawar Karim pada November 2013 namun bercerai pada Julai 2019. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam.

Sehingga artikel ini ditulis, Fizo masih mengunci mulut dan tidak memberikan respon kepada media.