Penyanyi Hafiz Suip memilih untuk kekal dengan genre balada bagi single terbarunya yang akan dikeluarkan minggu ini.

Menurut Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, dia pernah mencuba beberapa jenis genre lagu berbeza tetapi kurang mendapat sambutan daripada peminat.

“Sebelum ini saya pernah buat eksperimen menyanyikan lagu genre-genre yang lain tetapi saya ada terima komen, ada ramai yang tak boleh terima saya bawa lagu selain balada.

“Komen-komen yang macam ni sebenarnya bagus untuk kita tahu apa peminat mahukan. Apa yang mendatangkan hasil, itulah yang kita buat. Saya buat apa yang orang suka.

“Saya tak serik mencuba genre lain tetapi ia ibarat pengalaman yang mengajar,” jelas Hafiz kepada Gempak.

Hafiz ditemui selepas majlis sidang media Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) yang diadakan di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada Ahad.

Tambah Hafiz lagi, dia merasakan rakyat Malaysia lebih menyukai lagu-lagu berentak balada dan akan terus menghasilkan karya-karya yang berkualiti untuk peminat.



“Pada saya, lagu bergenre ini ada menjadi kegemaran rakyat Malaysia dan mereka nak saya bawa lagu-lagu berentak begitu.

“Saya akan mengeluarkan single terbaru pada 14 Februari nanti yang bergenre balada, ala-ala Kisah Cinta Kita juga.

“Apa yang boleh cakap selagi ada kudrat dan kesihatan yang baik, Insya-Allah saya akan berjuang dalam industri seni tanah air sebab ini sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menghiburkan peminat.

Pada malam AJL34, Hafiz menerusi lagu Kisah Cinta Kita membolot anugerah persembahan terbaik dan vokal terbaik menewaskan 11 penyanyi lagi.