#FoodiesLife: Dah Mula Fikir Menu Untuk Sahur? Tak Perlu Pening Kepala, Ini 8 Menu Yang Kenyang & Mudah

Zulaikha Yusof
April 11, 2021 08:29 MYT
Lagi dua hari bulan Ramadan akan tiba.
Sebut sahaja Ramadan, dua waktu akan berlegar-legar dalam fikiran iaitu waktu berbuka dan waktu sahur.
Namun, sering kali kita mengabaikan sahur walaupun hakikinya ia sangat penting. Ingat, dalam bersahur tu ada keberkatannya.
Pemilihan makanan dan cara anda bersahur amat penting bagi memastikan sumber tenaga anda cukup untuk sepanjang hari.
Hari ini, #FoodiesLife kongsikan lapan makanan yang sesuai untuk dijadikan menu sahur serta cepat untuk disediakan:
1. Telur
Telur adalah pilihan terbaik. Ia mengandungi protein paling lengkap iaitu kira-kira 97 peratus daripadanya boleh diserap oleh badan.
Telur juga mengandungi kolin yang membantu metabolisme dan pusat sistem saraf berfungsi. Ia boleh memakannya dalam pelbagai cara seperti rebus dan goreng.
2. Oatmeal
Boleh sediakan paket oatmeal untuk seisi keluarga yang ditambah dengan bahan-bahan lain seperti buah-buahan, chia seed dan flax seed.
3. Sup
Bagi anda yang susah untuk makan sewaktu sahur, sup amat berkhasiat dan sesuai untuk anda. Tidak kisah sama ada sup sayuran, ayam atau daging.
Kita memerlukan sayuran dan protein sebagai pembekal tenaga seharian.
4. Pasta
Pasta mempunyai kandungan kalori yang cukup tinggi.
Pengambilan 100gram (g) pasta kering mengandungi 370 kalori yang lebih rendah daripada biskut dan ia juga mengandungi protein serta lemak.
Pasta juga boleh menarik perhatian anak-anak kecil yang baru belajar berpuasa untuk bangun bersahur.
5. Nasi
Nasi adalah makanan harian utama bagi semua orang.
Bagi yang tidak mahu makan berat tetapi mahukan karbohidrat yang banyak, boleh makan nasi beserta lauk yang mengandangi protein dan sayuran.
Bukan sahaja boleh menambah tenaga, bahkan menyelerakan.
6. Biskut
Biskut adalah antara makanan yang membantu anda berasa kenyang semasa puasa.
Kandungan tenaga setiap biskut adalah berbeza-beza dan biasanya dinyatakan pada bungkusannya. Contohnya, setiap 100gram (g) biskut mengandungi 458 kalori.
7. Salad
Menu ini sesuai bagi mereka yang ingin makanan yang ringan dan mudah. Anda boleh masukkan apa saja ke dalam salad segar anda dan makan begitu sahaja.
8. Buah-Buahan
Bagi yang suka makanan manis sewaktu sahur, anda boleh makan buah bersama bijirin ataupun taburkan di atas roti tortilla dan juga roti serat.
Antara jenis buah yang mengenyangkan perut adalah avocado, pisang, betik, kurma, anggur, strawberi dan epal.
Di kesempatan ini, #FoodiesLife ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat berpuasa untuk seluruh umat Islam.
#Ramadan #Makanan #Sahur #FoodiesLife