Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#FoodiesLife: Jom Masak Rendang, Ada 6 Jenis Yang Boleh Rawat Hati Tengah Rindu Kampung

Zulaikha Yusof
18/07/2021 09:12 MYT
"Pejam celik, pejam celik. Hari Raya dah nak tiba," nyanyi Iman Troye menerusi lagu Pejam Celik Hari Raya.

Sedar tak sedar, tanggal 20 Julai ini umat Islam akan menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha.

Walaupun tidak dapat pulang ke kampung halaman disebabkan virus Covid-19 sedang mengganas namun kita tetap kena sambut raya.

Bila sebut saja hari raya, semestinya rendang akan berlegar di kepala.

Tak kiralah sambutan raya apa sekalipun, rendang pasti akan menjadi juadah utama selain daripada ketupat dan nasi impit.

Tetapi tahukah anda yang sebenarnya kita mempunyai pelbagai variasi rendang?

Berikut #FoodiesLife kongsikan enam jenis rendang untuk anda semua cuba di rumah:

#1 Rendang Tok



Rendang Tok dikatakan berasal dari Kampung Pisang yang terletak di Batu Gajah, Perak.

Bukan sahaja digemari dan dikenali oleh penduduk Perak, bahkan sentiasa menjadi pilihan nombor satu rakyat Malaysia dalam pelbagai lapisan masyarakat.

Bahan utama untuk memasak rendang tok adalah daging lembu atau daging kerbau, bawang, santan, lada, kunyit dan daun limau purut.

Apa yang menjadikan Rendang Tok ini lebih unik lagi adalah ia perlu dimasak dengan menggunakan kaedah tradisional iaitu dapur kayu.

Rendang Tok ini bukan sahaja dihidangkan semasa sambutan hari raya, malah ianya turut disajikan di kenduri-kendara.

#2 Rendang Minang



Kalau sebut Minang semestinya berasal dari Negeri Sembilan.

Rendang Minang berbeza dari rendang biasa kerana ia memakan masa yang lama untuk dimasak.

Antara bahan utama untuk masak Rendang Minang ialah halia, lengkuas, cili kering, santan dan serai.

Rendang Minang sangat sesuai disajikan dengan nasi, pulut kuning, lemang dan ketupat.

#3 Rendang Hati



Rendang Hati adalah resepi turun temurun bagi masyarakat Johor.

Rendang Johor agak berbeza daripada negeri lain kerana menggunakan hati lembu yang masih kemerahan bagi mengelakkan bau yang kurang enak.

Setiap kali perayaan dan kenduri-kendara, Rendang Hati wajib menjadi salah satu menu utama.

#4 Rendang Dendeng



Rendang Dendeng bukan sahaja cukup terkenal di Perak tetapi seluruh Malaysia.

Perbezaan antara rendang ini berbanding rendang negeri lain adalah pada cara penyediaannya.

Untuk memastikan Rendang Dendeng itu sedap, anda perlu mengetuk setiap potongan daging dan mencampurkannya dengan bahan-bahan lain.

Bukan setakat dihidangkan ketika perayaan tetapi rendang dendeng ini turut menjadi pilihan orang bujang untuk menikmatinya dengan nasi putih.

#5 Rendang Ayam Kelantan



Nak cuba rendang versi orang pantai timur? Rendang Ayam Kelantan menu paling tepat.

Rendang ini tidak menggunakan kerisik tetapi menggunakan asam gelugor.

Rendang Ayam Kelantan ini dimasak dengan tekstur berkuah, jadi ia sangat sesuai dimakan dengan pulut kuning, lemang dan ketupat.

#6 Rendang Daging Hitam



Menu Daging Masak Hitam bukanlah sesuatu yang asing di Sarawak.

Rendang ala Sarawak ini menggunakan bawang yang banyak dalam masakan serta akan dimasak berkuah.

Kebiasaannya rendang daging hitam ini dihidangkan ketika majlis dan acara istimewa seperti ‘pengilan’. Juadah ini juga selalunya dihidangkan ketika sambutan hari raya.


Foto: Google

***

NOTA: #FoodiesLife merupakan satu artikel yang menceritakan dari pelbagai sudut tentang makanan. Bukan hanya tertumpu kepada resipi sahaja.
#Johor #Ayam #Aidiladha #Rendang #Tok #FoodiesLife #Dendeng #Minang
;