Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#Foodieslife: Nak Hidup Lebih Tenang? Banyakkan Makan Kunyit!

Izwan Isa
16/07/2022 12:50 MYT
Selalunya, kita akan gunakan kunyit untuk menambah warna kepada makanan dan lauk-pauk. Namun, tahukah anda bahawa kunyit turut menyimpan banyak khasiat lain yang baik untuk tubuh badan?

Jom semak fakta sihat mengenai kunyit!

Manfaat
Ahli Ayurveda (perubatan tradisional India), Avanti Kumar-Singh, MD, berkata, kunyit merupakan tumbuhan yang menawarkan pelbagai manfaat. Antaranya membantu fungsi kognitif, meningkatkan ketahanan kekebalan tubuh, dan meningkatkan kesihatan proses pencernaan.

Selain itu, kunyit juga mampu menjaga mobiliti sendi, sekali gus mengatur kadar gula dalam darah. Sumber khasiat daripada kunyit sebenarnya berasal dari polifenol, fitonutrien, dan kurkuminoid. Sebatian aktif itu - terutama kurkuminoid - dapat membantu melawan radikal bebas dan mengelakkan respons keradangan. Manfaat kunyit termasuklah:

1. Bersifat anti-keradangan
Kandungan kurkumin dalam kunyit membuatkan tumbuhan yang satu ini kaya dengan sifat anti-keradangan. Hal ini kerana, kurkumin dapat menghalang mediator proinflamasi seperti NF-κB, memodulasi ekspresi gen, dan memerangi tekanan oksidatif. Sifat anti-keradangan ini yang dapat meningkatkan kesihatan seluruh tubuh serta fungsinya.

2. Kesihatan muskuloskeletal
Sifat anti-keradangan kunyit ternyata mampu menyokong kesihatan muskuloskeletal. Muskuloskeletal merupakan struktur yang mendukung anggota tubuh, leher, dan punggung. Manfaat kunyit itu telah teruji keberkesanannya menerusi Journal of Medicinal Food. Kajian yang dilakukan mendapati pengurangan secara signifikan pada biomarker keradangan, yakni ESR dan CRP. Manfaat tersebut relevan dengan kesihatan sendi selepas responden kajian mengambil suplemen kunyit.

Pada sisi berbeza, kunyit bermanfaat untuk pemulihan otot seperti tertulis dalam Oxidative Medicine and Cellular Longevity tahun 2021. Para pengkaji mendapati bahawa suplemen kunyit membantu meningkatkan prestasi otot dan mendukung pemulihan otot yang sihat.

3. Mood dan memori
Pengambilan kunyit yang kaya kurkuminoid telah dikaitkan dengan perubahan mood. Hal ini kerana, manfaat tersebut sebenarnya terkait dengan sifat kunyit yang anti-keradangan dan anti-oksida. Kaitan antara kandungan kedua-duanya dengan mood telah dibuktikan dalam kajian dalam Journal of Psychopharmacology. Kajian mendapati responden berumur 60-85 tahun yang mengambil suplemen kunyit terasa lebih tenang dan kenyang. Mereka juga dikatakan mampu menguruskan tekanan yang dialami dengan lebih berkesan. Manakala kaitan kunyit dengan daya ingatan juga dibuktikan dalam kajian dalam Journal of Psychopharmacology. Hasilnya, responden yang mengambil suplemen kunyit dilihat dapat meningkatkan daya ingatan kerja dan perhatian. Ingatan kerja yang dimaksudkan ialah ingatan jangka pendek yang dikaitkan dengan membuat keputusan.

Berapa banyak kunyit yang perlu dimakan?
Supaya khasiat kunyit dapat dirasai, kita dinasihatkan untuk mengambil 1,200 hingga 1,800 miligram kurkumin setiap hari. Untuk makluman, satu sudu teh kunyit mengandungi kira-kira 200 miligram kurkumin.

"Ini bermakna, jumlah yang lebih besar daripada yang diambil oleh seseorang melalui makanan," ujar pakar makanan dan rempah ratus, Kanchan Koya, Ph.D.

Walaupun begitu, kita harus memberi perhatian untuk membentuk dan mencari fitonutrien yang dipanggil piperine yang dapat membantu meningkatkan bioavailabiliti. Ini penting untuk diperhatikan jika anda ingin mengambil kunyit melalui suplemen kunyit.

"Kunyit secara umumnya dianggap selamat dan boleh dimakan tanpa kesan sampingan yang serius," kata doktor naturopati, Jaime Schehr, ND, RD.

“Serbuk kunyit boleh dihasilkan dengan bahan pengisi yang murah, seperti tepung gandum dan pewarna makanan lain,” tambahnya.
#Mood #Kunyit #FoodiesLife
;