Laksa merupakan hidangan berkuah yang sangat popular di Malaysia.

Laksa mempunyai versi sendiri untuk kebanyakan negeri. Ada yang jenis berlemak, ada yang rasanya pedas dan ada juga yang berbeza dari segi mi yang digunakan.

Baru-baru ini ada tular di media sosial perdebatan warganet tentang ‘standard’ laksa negeri masing-masing hingga mencetuskan perbalahan.

Di sini, #FoodiesLife senaraikan 10 jenis laksa yang terdapat di negara kita:

#1 Laksa Kuala Perlis

Laksa Kuala Perlis atau dipanggil laksa kola dibuat menggunakan tepung ubi kayu, tepung beras dan beras kisar.

Tekstur laksa kola juga halus berbanding laksa beras biasa. Kuahnya seakan dengan laksa Penang, cuma tidak terlampau pekat.

Laksa ‘legend’ itu akan dimakan dengan hirisan timun, bawang dan telur rebus.

#2 Laksa Lemak Kedah

Pernah dengar tak dengan Laksa Lemak Kedah?

Laksa ini mengunakan laksa beras sebagai mi dan kuahnya pula merupakan kuah lemak dan warnanya kuning.

Bahan utama untuk kuah lemak ini lebih kurang dengan kuah laksa Penang, namun yang berbeza adalah ditambah dengan santan.

#3 Laksa Penang

Laksa Penang atau dikenali dengan Asam Laksa merupakan laksa dari Penang yang cukup popular.

Ia disukai ramai kerana rasa masam dan masin yang sebati. Bahan utama ialah ikan rebus segar, daun kantan dan bunga kesum. Ada juga yang menambah nanas yang dikisar.

Selain itu, belacan bakar dan isi udang juga ditambah bagi membangkitkan rasa laksa.

Sebagai bahan hiasan dan ulaman ia disajikan bersama telur rebus, potongan bawang, limau nipis dan sayur-sayuran yang dihiris halus.

#4 Laksa Ipoh

Jarang dilihat tetapi pasti akan teruja untuk mencuba keunikan Laksa Ipoh.

Laksa Ipoh atau dipanggil laksa telur bersarang ini sangat terkenal di Ipoh malah popularitinya juga sudah meluas hingga ke daerah Kuala Kangsar.

Keunikan utama laksa Ipoh ini terletak kepada telur yang digunakan. Ianya merupakan telur dadar yang digoreng dengan teknik yang istimewa, menjadikan bentuk telurnya persis sarang burung.

#5 Laksa Mi Pangkor

Laksa Mi Pangkor cukup terkenal di Lumut, Perak.

Menariknya, sambal laksa mi Pangkor menggunakan belacan manakala mi adalah sejenis mi khas. Korang boleh menggunakan mi lidi atau spageti dalam penyediaan.

Laksa mi Pangkor menggunakan sup ikan kembung, sup ketam atau sup sotong.

Keenakan terserlah apabila dinikmati bersama sambal udang, kacang panjang dan sedikit lobak masin.

#6 Laksa Johor

Laksa Johor merupakan hidangan yang unik kerana ia menggunakan spageti berbeza dengan laksa lain yang menggunakan laksa beras.

Kuahnya pula merupakan kuah kari yang pekat dan harum aromanya. Bahan asas untuk kuah ini ialah rempah ratus, ikan parang dan santan.

Laksa ini akan disajikan dengan ulam-ulaman sebagai penyedap rasa seperti limau kasturi, bunga kantan, daun selasih, kacang panjang dan taugeh. Sambal turut diletakkan di atasnya.

#7 Laksa Terengganu

Di Terengganu, Laksa Terengganu sering menjadi pilihan hidangan berkuah.

Ia hadir dengan dua jenis kuah sama ada mentah atau masak. Kuah mentah merupakan santan yang dicampur air panas tanpa dimasak. Ia ditambah lada hitam, isi ikan dan bawang sebagai penyedap rasa.

Kuah yang masak pula ialah kuah gulai seakan seperti kuah laksa Johor. Mi untuk laksa diperbuat daripada tepung gandum atau laksa beras, sama seperti laksa Penang.

#8 Laksam

Laksam adalah hidangan sarapan popular di negeri Pantai Timur khususnya Terengganu dan Kelantan.

Laksam ini diperbuat daripada gulungan kuey teow tebal yang dimakan bersama kuah yang diperbuat daripada santan yang dimasak bersama ikan rebus.

Laksam ini selalunya disajikan bersama sambal cili api atau sambal ‘jantan’.

#9 Laksa Lemak Kelantan

Mi laksa yang digunakan untuk Laksa Lemak Kelantan sama seperti asam laksa.

Apa yang berbeza adalah dari segi penyediaan kuah. Kuah lemak itu dibuat menggunakan santan dan ikan rebus sebagai bahan-bahan utama.

Jadi, kuah laksa Kelantan kurang rasa pedasnya dan akan berasa lemak manis.

Laksa ini disajikan dengan ulam-ulaman yang terdiri daripada kacang panjang, timun dan tauge, kacang panjang dan timun dihiris halus.

#10 Laksa Sarawak

Laksa Sarawak nyata berbeza dengan laksa di negeri lain.

Kuah laksa Sarawak tidak menggunakan ikan tetapi menggunakan air rebusan ayam dan udang segar.

Mi laksanya pula menggunakan bihun. Kekuatan laksa Sarawak adalah pada kuahnya yang berempah dan bahan hiasan yang digunakan.

Pes laksa Sarawak boleh disediakan sendiri atau dibeli yang telah siap dipek seperti pes perencah Hj Manan.