Foto ‘First Look’ Backstage Yang Dibintangi Sissy & Vanesha Precilla Ini Buat Ramai Teruja!

Syafiqah Jalal
September 29, 2020 13:23 MYT
Selepas selesai penggambaran pada 22 Ogos lalu, filem Backstage secara eksklusifnya mendedahkan gambar first look baru-baru ini.
Foto pertama itu dimuat naik sendiri ke akaun Instagram (IG) Paragon Pictures yang menampilkan tiga bintang utamanya dari Indonesia iaitu Sissy Priscillia, Vanesha Prescilla dan Achmad Megantara.
“Official First Look Film Backstage - Sebuah filem drama bertema sisterhood,” tulisnya dalam kapsyen entri tersebut.
Di foto pertama menunjukkan Vanesha yang memegang watak Elsa Anindita seperti sedang melakukan aksi tarian bersama penari latar.
Di foto kedua pula terlihat Vanesha dan Sissy yang berperanan menjadi kakak kepada Elsa iaitu watak Sandra Anandara sedang melakukan tap dance.
Sementara di foto ketiga merupakan salah satu adegan romantic antara Vanesha dan Megantara.
Entri tersebut mendapat perhatian pengikut terutama di Indonesia yang tidak sabar menanti kemunculan filem berkenaan.
“Terujanya mahu menonton,” ulas salah seorang pengikut IG tersebut.
“Tak sabarnya menanti ia ditayangkan,” komen salah seorang wargamaya.
“Selamat maju jaya untuk filem ini,” ujar seorang peminat.
Backstage merupakan filem gabungan dua negara antara kolaborasi Malaysia dan Indonesia iaitu Astro Shaw dan penerbit dari Indonesia, Ideosource Entertainment (IDEO) serta Paragon Pictures.
Filem ini bergenre drama yang mengangkat tema saudara perempuan (sisterhood) dan muzik yang amat dekat dengan cita rasa peminat dan penonton di Indonesia dan Malaysia.
Pengarah filem Ayat-Ayat Cinta 2 , Assalamualaikum Beijing, Purple Love, iaitu Guntur Soeharjanto diamanahkan untuk mengarahkan Backstage.
Backstage turut mendapat sokongan pelabur dari Endeavor Content dan PT NFC Indonesia Tbk (NFCX) serta Tokopedia.
Untuk mendapatkan informasi terkini mengenai filem Backstage, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw, Ideosource Entertainment (IDEO) dan Paragon Pictures.
#Backstage #Vanesha Precilla #First Look