Pelakon korea popular, Hyun Bin dan Son Ye Jin menjadi bualan hangat netizen selepas foto mereka membeli barangan dapur di Amerika Syarikat tular baru-baru ini.

Foto itu merakamkan Hyun Bin sedang menolak troli manakala Ye Jin sedang sibuk membeli barangan dapur sekaligus membuatkan ramai yang mengandaikan pasangan ini menjalinkan hubungan cinta.

Bagaimanapun, agensi pengurusan Hyun Bin, VAST Entertainment menafikan spekulasi tersebut dan menyatakan mereka berdua hanyalah kawan rapat sahaja.

Manakala pihak pengurusan Son Ye Jin juga memberitahu gosip tersebut tidak benar.

“Berkali-kali kami bertanyakan hal tersebut kepada Ye Jin dan dia mengesahkan mereka berdua tidak mempunyai sebarang hubungan cinta,” jelasnya.

Terdahulu, spekulasi mengenai hubungan cinta mereka mula menjadi perhatian sejak bulan Januari lalu apabila ada pihak melihat pasangan ini meluangkan masa bermain golf dan menikmati makan malam.

Sumber: Allkpop