[FOTO]: Tak Sangka Tulisan Cantik Text Sejarah Melayu Terpanjang Di Dunia Ini Hasil Air Tangan Emma Maembong
Mya Amri
22/09/2022 08:00 MYT
22/09/2022 08:00 MYT
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, itulah perumpaan yang sesuai diberikan kepada pelakon, Emma Maembong.
Masih ingat tak tentang pameran Ilustrasi Sejarah Melayu Terpanjang Di Dunia yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2015?
Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya ayat-ayat yang ada pada ilustrasi itu adalah hasil air tangan Emma sendiri, hebat kan?
Perkara itu didedahkan sendiri oleh bapa Emma, Ismail Maembong menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya.
Menurut Ismail, Emma memasuki bidang lakonan selepas beberapa bulan selepas kerja menulis teks selesai.
Tambah Ismail lagi, pengunjung juga tidak mempedulikan Emma yang sedang melakukan kerjanya dengan tekun menulis pada ketika itu.
“Ramai terkejut dan kurang percaya bila ayoh beritahu yang tulisan text Sejarah Melayu (SM) di lukisan terpanjang dunia itu adalah tulisan Emma.
“Ayoh diberi ruang ini oleh Kementerian pd 2005 untuk berkarya. Dalam foto ini Emma sedang menulis teks SM pada lukisan terpanjang dunia dipertengahan 2012.
“Pengunjung tidak pedulikan dia yang tekun menulis kerana dia belum dikenali, belum ceburi bidang lakon.
“Dia masuk bidang lakon akhir 2012 beberapa bulan lepas kerjanya di sini selasai dan ayoh 'bebaskan' dia,” kongsinya.
Menerusi ruangan komen, ramai yang kagum dengan kebolehan dan bakat Emma.
Selain itu mereka juga memuji Emma yang amat tekun melakukan kerjanya. Malah hasil kerja pelakon cantik ini juga amat halus dan cantik.
Untuk info, Ismail Maembong merupakan seorang pelukis yang terkenal dalam kalangan orang seni.