Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Fourtwnty Bawa Nalar Tour Ke JB, Kuantan & Penang: “Terasa Bercuti Bukan Kerja”

Maliah Surip
22/09/2023 11:35 MYT
Ada lebih sekadar daripada rasa enak atau mahu datang dan datang lagi ke Malaysia yang dirasakan oleh setiap anggota Fourtwnty.

Selain terus menyuburkan jiwa para peminat dengan karya-karya yang sudah menjadi candu dan tak terpadamkan, Fourtwnty sangat berlapang dada berkunjung ke tanah air kerana berasa hangat dengan sambutan yang diberikan setiap kali mereka berada di atas panggung.

Kerana itu tidak hairan sebaik album ketiga mereka Nalar dipasarkan, Malaysia menjadi negara dengan siri ‘keliling kota’ buat Fourtwnty bertemu secara intim sekaligus terus menghipnotis peminat agar terus menjadi ‘pemuja’ mereka.

“Ini menjadi pengalaman baru buat Fourtwnty. Kami sangat teruja atas kesempatan yang diberikan oleh Shiraz Projects sekali lagi buat kami.

“Semoga ‘kota-kota’ yang akan kami singgah mempunyai vibe dan antusias tinggi sama seperti di Kuala Lumpur,” ujar sang vokalis, Ari Lesmana saat sidang media secara virtual bersama media Malaysia.

Tambah Fourtwnty, kembali membuat persembahan dan menghiburkan peminat di Malaysia tidak pernah dilihat seperti beban. Malah ia disifatkan seperti sebuah liburan (percutian) yang sentiasa dinantikan.

“Setiap ke Malaysia kami tidak pernah rasa seperti bekerja sebaliknya macam liburan, memburu kuliner (makanan). Orangnya baik sehingga kami rasa sangat dihargai.

“Pokoknya di Nalar Tour nanti harap semuanya lancar. Kami akan membawa konsep yang berbeza dan gimik yang menarik. Semogaa tiketnya sold out,” kata Ari.

Ari juga berjanji tempoh persembahan selama dua jam tidak hanya diisi dengan seluruh lagu Nalar termasuk Larasuka dan Aku Mencintai Traumaku tetapi juga pasti peminat akan dihiburkan dengan tembang lama yang telah menubuh besarkan mereka dalam ranah muzik Nusantara.

Maka bersiaplah seluruh orang Pahang menyambut Nalar Tour pada 13 Oktober bertempat di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan.

Buat penggemar di Johor Bahru yang telah lama menantikan Fourtwnty menebarkan pesona mereka di bandaraya ini, jangan sampai terlepas konsert mereka berlangsung di Persada Johor International Convention Centre, Johor pada 15 Oktober depan.

Fourtwnty Nalar Tour kemudian dibawa naik ke Utara, khususnya di Pulau Pinang pada 20 Oktober 2023 di Vervea Trade and Exhibition Centre (VTEC), Batu Kawan, Pulau Pinang.

Tidak lengkap siri jelajah tanpa singgah di Kuala Lumpur. Maka siap sedia menyambut Fourtwnty untuk kesekian kalinya di ZEPP Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2023.

Namun sebelum Fourtwnty melakukan ‘keliling kota’ di Malaysia, mereka terlebih dahulu penggemarnya di Capitol Theatre, Singapura pada 7 Oktober 2023.

Dengan itu jangan sampai terlepas Nalar Tour kerana ia akan menjadi ‘kembara’ penutup Fourtwnty di tahun 2023 sementelah mutu karya mereka akan sangat membangkitkan ‘ghairah’ apabila ditonton secara langsung.

Tiket-tiket boleh dibeli di www.myticket.asia. Sampai jumpa.

#Indonesia #Penang #Tour #Johor Bahru #Kuantan #Fourtwnty #Nalar
;