Filem The Garden of Evening Mists disifatkan sebagai sebuah karya yang mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi.

Ia dapat dilihat menerusi penggunaan dialog yang digunakan oleh barisan pelakon dalam filem adaptasi novel tulisan pemenang Man Asian Literary Prize, Tan Twan Eng.

Perkara itu dikongsikan seorang peminat filem, Hans Hanis dalam blog miliknya yang menulis reviu filem arahan pengarah Tom Shu-Yu Lin itu.

"Kami melihat filem The Garden of Evening Mists ini sememangnya sarat dengan falsafahnya yang boleh dilihat melalui susunan serta frasa dialog yang digunakan yang sememangnya mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi.

"Kisahnya juga dilihat bijak bermain dengan elemen emosi yang berjaya disampaikan dengan kadar yang sepatutnya selain diperkukuhkan lagi dengan elemen kasih sayang serta unsur kekeluargaan yang sangat tinggi," tulisnya.

Menurutnya lagi, filem tersebut juga disampaikan dengan plot yang menguji daya pemikiran penonton untuk merungkai apa yang tersirat di sebalik penceritaan.

"Kronologi yang disusun serta pembayang yang diberikan bagi setiap persoalan yang ditimbulkan di dalam plot penceritaan filem ini pada kami cukup kreatif dan sangat mengujakan di mana anda perlu mencari jawapan kepada kisah perhubungan antara Yun Ling dan Arimoto.

"Pencarian lokasi adik Yun Ling iaitu Yun Hong serta apakah kaitan sebuah taman yang dihasilkan oleh Arimoto dengan keseluruhan kisah ini. Ia adalah satu teka-teki yang pasti akan membuatkan anda terasa hebat saat berjaya menyelesaikan dan menjawabnya dengan tepat," kongsinya.



Filem The Garden of Evening Mists merupakan sebuah karya yang mengangkat kisah kehidupan wanita di zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

BACA: 5 Lokasi Menarik Di Malaysia Yang Dipaparkan Dalam Filem The Garden of Evening Mists

Ia merupakan sebuah filem bertaraf antarabangsa terbitan Astro Shaw dan HBO Asia yang mendapat sembilan pencalonan di Anugerah Golden Horse ke-56.

Filem tersebut menampilkan pelakon Sinje Lee dan Hiroshi Abe selaku teraju utama.

Jadi, tunggu apa lagi, jangan lupa saksikan filem The Garden of Evening Mists di pawagam berhampiran anda hari ini!