Selepas dua minggu dilancarkan, single terbaharu Apak Harry Khalifah berjudul Seishin, telah ditonton lebih 201,000 kali di laman sosial Youtube.

Lagu Seishin juga merupakan single instrumental pertama Harry yang dilancarkan secara rasmi pada 16 Julai lalu di saluran Youtube Padu Records.

Video muzik Seishin yang diambil dari bahasa Jepun bermaksud semangat itu juga berada di kedudukan ke-22 trending YouTube.

Harry, 41, mengakui seperti tidak percaya video muzik instrumental itu mendapat jumlah tontonan lebih 100,000 pada minggu pertama dilancarkan.

“Saya sendiri macam tak percaya apabila ramai yang tonton dan memberikan kata-kata positif. Tetapi tak dinafikan ada juga yang mengecam.

“Saya tak kisah pun, sebab suka atau tidak suka saya tetap terima dengan hati yang terbuka. Yang baik saya jadikan semangat…Yang tak baik pun saya akan jadikan ‘kunci’ untuk memperbaiki lagi karya-karya saya pada masa akan datang,” katanya.



Kata penyanyi dan komposer itu lagi, Seishin menceritakan tentang perjalanan kehidupan beliau dalam industri muzik.

“Dalam industri muzik ini saya bermula betul-betul dari bawah dengan usaha kerja keras, naik dan turun, dicerca, dimaki sehinggalah menjadi Apak Harry Khalifah yang sekarang ini.

"Bukanlah nak kata yang saya ni bagus sangat atau hebat tetapi dengan pencapaian sekarang saya sangat bersyukur, Alhamdulillah.

“Karya-karya saya juga diterima ramai dan mendapat tempat di hati artis-artis baru,” katanya.

Oleh sebab itu, kata Harry lagi dia tidak kisah apabila ada yang menggelar lagu dihasilkan adalah karya kampung atau 'leman'.

“Biarlah orang nak kata ‘leman’ ke kampung ke…Yang penting setiap karya dihasilkan lahir dari hati. Bila lagu dimainkan di radio-radio, itu sudah cukup baik.

"Tapi bohonglah kalau saya kata tak tertekan dalam menghasilkan lagu. Sebab itu saya…bila lag utu terlintas di fikiran dan hati saya keluarkan saja.

“Malah, semua lagu saya memang datang dari hati. Sikit pun saya tak malu bila orang kata lagu-lagu saya 'leman’, sebab saya memang orang kampung dan saya bangga.

“Yang penting saya akan terus berusaha berkarya sampai bila-bila selagi bakat kurniaan Allah SWT ini masih ada,” katanya.