Laman Utama
Fuh! Sampai Ke Eropah Timur & Rusia...Janna Nick Tak Sangka Gatal Pecah Rekod TikTok
Penyanyi dan pelakon Janna Nick tidak menyangka kempen digital single terbarunya berjudul ‘Gatal’ mendapat sambutan luar biasa.
Di aplikasi TikTok, kempen tersebut kini berjaya meraih 1.5 juta video melibatkan pengguna di beberapa buah negara jiran seperti Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina dan Kemboja.
Ia turut menjadikan Gatal lagu tempatan pertama yang meraih pembuatan video melebihi 1 juta di aplikasi itu.
Single terbaru dari Janna Nick itu juga berjaya mendominasi Carta Muzik Tempatan dan Global TikTok hanya dalam jangka masa tiga minggu selepas video muzik rasmi dilancarkan.
Selain itu kempen Gatal turut menarik perhatian pengguna aplikasi itu sehingga ke benua Eropah Timur iaitu Rusia.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi gunakan lagu saya di platform mereka. Saya pun tak sangka lagu ‘Gatal’ ini akan dapat sambutan seperti ini.
“Alhamdulillah. Saya hargai sangat-sangat. Terima kasih juga kepada pencipta lagu ‘Gatal’ ni, Aepul Roza dan juga Warner Music Malaysia atas kerjasama ini.
“Jangan lupa untuk dengarkan lagu penuh di semua digital platform dan saksikan video muzik penuh di YouTube saya.
“Akhir sekali jangan lupa untuk minta dan undi lagu ‘Gatal’ ini di semua stesyen radio yang ada,” katanya.
Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, En Darren Choy pula berkata pencapaian Gatal adalah sesuatu yang membanggakan.
“Kami amat berbangga kerana telah mencapai kejayaan ini bersama-sama dengan Janna memandangkan ini kali pertama kami bekerjasama dengan beliau,” katanya.
Gatal merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Aepul Roza dan telah dilancarkan sejak 28 Januari yang lalu manakala muzik video dilancarkan pada 9 Februari 2022.
Must-Watch Video