Ketua kumpulan BigBang, G-Dragon menafikan spekulasi yang mengatakan dia kini sedang bercinta dengan bekas anggota kumpulan f(x), Sulli.

Perkara itu diakui oleh syarikat pengurusan BigBang, YG Entertainment selepas wakil syarikat itu bertemu penyanyi tersebut.

“Kami telah bertemu G-Dragon dan bertanya sendiri kepadanya mengenai hal tersebut dan dia juga telah menafikan perkara itu.

“Dia juga menyatakan perkara itu hanyalah gosip semata-mata dan tidak benar sama sekali. Cincin yang dipakai oleh G-Dragon merupakan hadiah daripada sahabat mereka berdua,” katanya.

Tambah wakil YG Entertainment itu lagi, G-Dragon atau nama sebenarnya Kwon Ji Wong, 29, kini sibuk membuat persediaan untuk album solo terbarunya.

“G-Dragon kini sedang sibuk dengan pembikinan album solo terbaru dan tiada masa untuk dirinya sendiri.

“Dia juga sudah lama tidak bertemu Sulli selepas keluar bersama rakan-rakan mereka di sebuah taman tema suatu ketika dulu,” jelasnya.

Sementara itu, pihak pengurusan Sulli, SM Entertainment juga turut menafikan perkara tersebut.

Terdahulu, spekulasi percintaan mereka timbul selepas peminat mendapati cincin berbentuk hati yang dipakai oleh G-Dragon Sulli adalah sama.

Menguatkan lagi dakwaan tersebut apabila ada peminat yang mengatakan pasangan itu telah memuatnaik foto yang menunjukkan mereka berada dalam kapal terbang yang sama walaupun gambar tersebut diambil secara berasingan.

Olahan oleh: Mya Amri

Sumber: Soompi