Laman Utama
#G The Untold Story: Dua Bulan Lagi Bergelar Ibu, Ayda Jebat Pilih Melahirkan Secara Pembedahan
Ayda Jebat, si genit dengan mata bundar dan senyuman manis ini kedengaran bahagia sekali di corong telefon saat melayani pertanyaan pertanyaan #G The Untold Story kepadanya.
Ya, Ayda yang mesra dalam kalangan media membahasakan dirinya Adik memang berhak berasa bahagia saat ini. Mana tidaknya, dalam hitungan tiga bulan ke depan, isteri Nabil Mahir ini akan masuk ke fasa baharu kehidupannya.
Dia akan bergelar ibu; satu predikat yang sangat penting dalam kehidupan seorang wanita. Momen itu ditunggu penuh debar dan sabar oleh Ayda.
Ia sama seperti proses yang dilaluinya dalam karier yang ditempuhi sejak tahun 2011. Kembara karier dari hanya sempat tiga minggu di pentas Akademi Fantasia 9 kemudian tumbuh mekar sebagai penyanyi dan pelakon yang disayangi serta popular, begitulah seperti perumpamaan fasa kehidupan peribadinya dengan Nabil yang bertemu, bercinta dan kini mengulit bahagia sebagai suami isteri yang sedang menghitung detik bergelar ibu bapa.
Sejak menikah pada 1 Januari 2021, Ayda dan Nabil juga menyorot perhatian dengan perlakuan perlakuan manja mereka sebagai suami isteri ; berpeluk, bercumbu sehingga mencium ketiak sempat memanaskan suhu rumah tangga mereka sehingga digelar pasangan paling annoying oleh segelintir netizen.
Meski begitu, apa yang dipertontonkan dalam media sosial sehingga membangkit rasa meluat dan dicemuh netizen hanya secebis daripada pengalaman kehidupan mereka.
Ironi, kembara kehamilan pelakon Rindu Awak 200% ini tidak mulus. Ada dalam fasa yang dilalui, dia berhadapan alahan. Malah penyanyi lagu Parah ini sempat melewati mimpi ngeri ; hampir kehilangan calon zuriat pertamanya.
Kepada #G The Untold Story, Ayda dengan Nabil setia di sisi berkongsi roller coaster fasa kehamilannya yang akan dikenang sebagai momen termahal dalam hidupnya.
G: Boleh kongsikan pengalaman Ayda sepanjang tempoh kehamilan ini. Suka dan duka yang dilalui?
Ayda Jebat: Trimester pertama saya mengalami alahan seperti muntah-muntah tetapi tidaklah teruk sangat. Tetapi disebabkan kesibukan kerja Adik hampir mengalami keguguran. Tetapi Alhamdulillah masih ada rezeki, kandungan selamat.
Itulah pengalaman menakutkan sepanjang kehamilan. Adik harap ia tidak berlaku lagi. Dua hari lalu, kandungan saya genap enam bulan. Tapi yang anehnya memasuki trimester kedua ini tiba-tiba alahan agak teruk.
Tak ada signal, duduk saja-saja pun boleh muntah! Muntah tepi katil, muntah atas Nabil…Tetapi ‘adik’ enjoy the pregnancy journey.
G: Bagaimana Ayda mengatasi tekanan dalam tempoh kehamilan ini? Iyalah, ibu hamil tak boleh stress, bahaya untuk kandungan…
Ayda Jebat: Tak ada tekanan, cuma saya cepat sensitif bila memasuki trimester kedua. Cuma sehingga kandungan masuk trimester ketiga masih ada heartburn, susah nak tidur malam, muntah dan perut mengeras. Hahaha...Ada petua tak nak share?
G: Nabil sebagai seorang suami dan bakal ayah di mata Ayda? Adakah dia lelaki sempurna yang dicari-cari selama ini?
Ayda Jebat: Secara jujurnya, adik lebih daripada bertuah kerana memiliki Nabil. Dia buat saya gembira setiap hari. Memenuhi semua kehendak dan sentiasa berada disamping adik. Orang di luar mungkin tak sangka yang Nabil lebih bersedia untuk bergelar bapa berbanding adik.
Nabil lah kawan baik, dia juga suami dan soulmate. Saya bersyukur kerana Allah hadirkan Nabil dalam hidup saya. (Sebak).
G: Siapa lebih beremosi, Ayda atau Nabil? Kongsilah sikit…
Ayda Jebat: Sudah tentulah adik, Nabil seorang yang tenang.
G: Ayda dan Nabil bakal timang cahaya mata lelaki atau perempuan?
Ayda Jebat: Surprise! Kami tak kisah bayi lelaki atau perempuan asalkan dia sihat, sempurna dan menjadi anak yang soleh dan solehah.
G: Bila tarikh jangkaan bersalin?
Ayda Jebat: Sepatutnya 10.10 tapi…mungkin pada penghujung September sebab saya pilih untuk melahirkan secara pembedahan.
G: Selepas baby lahir nanti, Ayda mesti lagi sibuk nak menguruskan keluarga dan bisnes. Dah plan dari sekarang?
Ayda Jebat: Adik dah buat keputusan untuk berehat buat sementara waktu selepas bersalin. Saya mahu tumpukan sepenuh perhatian kepada baby tetapi dalam masa yang sama akan fokus kepada perniagaan.
And also melakukan seberapa banyak kempen yang boleh ‘adik’ buat dari rumah sahaja. Macam sekarang ni pun ‘adik’ tak keluar langsung, hanya buat kempen dari rumah. Untuk bidang nyanyian dan lakonan mungkin akan release lagu baru tak lama lagi dan kembali aktif berlakon tahun hadapan, Insya-Allah…
G: Soalan untuk Nabil sebelum kita akhiri perbualan. Describe seorang Ayda Jebat di mata Nabil?
Nabil Mahir: I am very blessed, Alhamdulillah dipertemukan teman sehidup semati seperti Ayda. Dia seorang yang sentiasa menyokong apa sahaja yang saya lakukan. Dia mungkin tidak tergolong dalam kumpulan isteri-isteri di luar sana yang selalu berada di dapur, tetapi tak apa…saya dah mula belajar memasak sekarang! Hahaha…
Tetapi dia menyokong saya dengan cara berbeza, yang saya tak pernah jangka pun. Itu kelebihan Ayda. Kejujuran dan keikhlasan Ayda menyentuh hati saya. Ayda is a wonderful partner.
Bagi saya, rahsia kunci kebahagiaan rumah tangga ialah komunikasi sesama pasangan dan sentiasa support each other, tak kira bagaimana caranya.
Seorang Ayda Jebat di mata saya, dia wanita independent, dia tahu apa yang dia lakukan dan tidak pernah berputus asa dalam melakukan sesuatu sehinggalah dia berjaya mencapai apa yang dicita-citakan. Dia selalu memetingkan kegembiraan orang lain berbanding dirinya. Dia susah atau sengsara sekalipun, dia tetap akan pastikan orang di sekeliling gembira.
Seorang yang komited, disiplin dan itulah yang membuatkan saya jatuh cinta kepadanya! Saya lelaki bertuah kerana menjadi sebahagian daripada hidup Ayda dan kalau boleh saya mahu berada disisinya sehingga hembusan nafas yang terakhir. I love you so much, wifey…
G: Ini satu lagi soalan untuk Nabil. Selepas kalian menikah, kemesraan yang dipamerkan dalam laman sosial seperti cium ketiak misalnya, mengundang pelbagai reaksi. Sampai kena kecam sehingga ada yang kata kalian couple annoying?
Nabil: Kita boleh jadi durian paling sedap di dunia ni pun, pasti ada orang yang tak suka durian. Kita tak perlu fokus pada mereka yang tak suka. Yang penting is that we're happy, comfortable and honest to each other.
They wanna hate and focus on our life, biar kan. We're focusing on ours.
Ayda dan Nabil diijabkabulkan pada 1 Januari lalu. G! Doakan semoga urusan Ayda dan Nabil dipermudahkan. Tak sabar nak tengok baby mereka nanti!
Must-Watch Video