Lagu nyanyian Zee Avi yang pernah menjadi runut bunyi filem Ola Bola berjudul Arena Cahaya mencetuskan inspirasi sebagai suntikan semangat melawan pandemik Covid-19.

Mendengar dan melihatkan mesej positif dalam balutan melodi dan nukilan Zee serta Rendra Zawawi, terlintas di fikiran anak rantau Malaysia yang bekerja di Jakarta, Indonesia untuk muncul dengan idea ini.

Pasangan suami isteri, Denys Munang dan Munirah Kader Shah serta sahabat mereka Mike Manicka muncul dengan idea menggabungkan 27 penggiat seni dari pelbagai genre untuk menyampaikan isi hati positif ini kepada umum.

Zee Avi juga menyambut baik idea kreatif ini dan merasa terharu dengan sumbangan serta keikhlasan yang dihulurkan oleh 26 penggiat seni lain untuk sama-sama mendendangkan mesej Arena Cahaya.

"Untuk memperoleh bakat-bakat istimewa dan handal Malaysia bersama menyanyikan lagu saya, Arena Cahaya merupakan satu penghormatan.

"Para penggiat seni bersatu untuk membantu memberi inspirasi pemikiran yang penuh harapan.

"Sama seperti lagu tersebut, ia ditulis untuk mengeratkan kita bersama bukan hanya sebagai sebuah negara tetapi sebagai individu yang berhadapan cabaran.

"Namun saya percaya bahawa kita akan sama-sama berjaya dan kuat untuk melalui detik-detik ini jika kita beringat untuk bekerja secara kolektif bagi memastikan diri kita serta orang yang kita sayangi selamat dan sihat hendaknya," ujar Zee Avi mengenai lagu yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment dan Monotone Inc ini.

Idea untuk membentuk vokal harmoni seramai 27 penggiat seni dilakukan dalam masa dua minggu dan dilancarkan hari ini, Rabu 22 April 2020, serentak di laman sosial.

Penggiat-penggiat seni yang terlibat dalam video adalah Zee Avi, Anuar Zain, Leaism, Bihzhu, Dasha Logan, P’ie Ramayan, Vince Chong, Dina Nadzir, Aina Abdul, Misha Omar, Myo OCK, Datin Tiara Jacquelina, Acap Salammusik, Alena Murang, Daniel Lee, Elvira Arul, Dayang Nurfaizah, Ella , Lah Ahmad, Adibah Noor, Mayabayu, Marsha Milan, Santosh Logandran, Liza Hanim, Noryn Aziz, Rich Gimbang dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Manakala di permulaan lagu ini, Amy Search dengan berbesar hati menyampaikan mesej dan ucapan terima kasih buat penggerak hadapan Malaysia.

Marilah kita bersama-sama ‘meraikan’ lagu dan semangat positif ini untuk diterapkan dalam setiap hati cahaya-cahaya rakyat Malaysia.