Selepas kejayaan menebusi pasaran Kollywood dan dunia hiburan Tamil, penyanyi rap Balan Kash kini tampil dengan lagu berjudul Terima Kasih’.

Lagu Melayu pertamanya yang mengisahkan kehidupannya itu juga merupakan kerjasama bersama penyanyi terkenal Hazama.

“Terima Kasih merupakan sebuah lagu yang nyata, dan refleksi jujur tentang hidup saya. Bagi saya, makna lagu ini lebih besar daripada perkataan Terima Kasih itu sendiri.

“Lagu ini menyedarkan saya, bagaimana rasa syukur itu mampu memberikan semangat untuk terus memulakan hari dan menerima apa sahaja yang terjadi sama ada yang baik, yang buruk, yang tinggi atau yang rendah.

“Rasa tenang ini boleh hadir dengan mudah apabila kita sering bersyukur untuk setiap perkara,” ujarnya.

Sementara itu, Hazama memberitahu dia sebenarnya sudah lama mengikuti perkembangan Balan dan memuji karya-karya hebat penyanyi itu.

“Saya sudah lama mengikuti bakat Balan dan karya-karya hebatnya sepanjang kariernya. Saya teruja apabila diberikan peluang untuk bekerjasama dengan nama besar daripada industri muzik Tamil.

“Sebenarnya, banyak bakat-bakat tempatan yang kurang menerima perhatian daripada media dan orang ramai kerana mereka tidak menyanyi dan melakukan persembahan dalam Bahasa Melayu.

“Namun, kita semua adalah rakyat Malaysia dan saya mengharapkan kerjasama merentasi bahasa ini dapat diteruskan lagi,” katanya.

Balan Kash adalah nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia sebagai seorang pemuzik rap berbakat yang serba boleh.

Malah, beliau juga dikenali sebagai artis yang mampu menguasai tiga bahasa. Sehingga hari ini, beliau pernah bekerjasama dengan beberapa nama hebat lain seperti Joe Flizzow, Reshmonu, Anirudh Ravichander, Santesh dan ramai lagi.

Bukan itu sahaja, beliau juga mempunyai rekod penstriman sebanyak 20 juta sepanjang kariernya dalam bidang muzik.

Video muzik Terima Kasih merupakan adaptasi hidup Balan, dan bagaimana dia membentuk dirinya sebagai seorang artis bermula sebagai seorang penyanyi indie yang gigih menempa nama.

Kini, dia boleh berbangga selepas mempersembahkan lagunya sendiri, Start That Thiruvizha di konsert Anirudh baru-baru ini.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.