Dua seniman berkongsi satu pentas, penyanyi Datuk M Nasir dan Datuk Hattan bakal mengadakan konsert ‘Sifu & Aku 38’ di Sarawak pada 25 Mei 2023 manakala Sabah pada 1 Jun 2023.

Menurut M Nasir, dia melihat gabungan dengan Hattan dalam satu panggung merupakan satu idea yang baik selain dapat beramah mesra dengan peminat di Semenanjung.

“Mesti ada maksud dan simbolik di sebalik tanggal 38 tahun keraian dan perkataan Sifu dan Aku itu sendiri. Jadi saya melihat ia sebagai buah fikiran yang baik, gabungan bersama Hattan, menyapa peminat di luar Semenanjung, menyemarakkan kembali pasaran konsert tempatan, saya menyambutnya dengqn senang hati,” ujar M.Nasir.

Sementara bagi Hattan pula melihat penganjuran Konsert ‘Sifu & Aku 38’ sebagai sebuah epik dalam dunia seni bagi kariernya dan figura yang dihormati.

“Ini juga sekaligus membuktikan banyak mana lambakan penyanyi luar, penghibur tempatan mempunyai ruang eksklusif yang tidak pernah terbuang dan dilupakan peminat,” ujarnya.

Konsert yang dianjurkan oleh Westzone Entertainment (M) Sdn. Bhd dan rakan penganjur, GC Productions akan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada 25 Mei 2023.

Manakala Sabah pula akan diadakan di Sabah International Convention Centre pada 1 Jun 2023.

Sementara itu, penganjur berjanji apa yang disajikan di Konsert Sifu & Aku 38 berbaloi dengan penantian peminat dan aura yang dipancarkan oleh M.Nasir dan Hattan sendiri.

“Ini adalah cabaran kami di pihak penganjur iaitu memastikan Konsert ‘Sifu & Aku 38’ punya kelas tersendiri dari segi aspek teknikal seperti jalan persembahan, bunyi dan hal-hal belakang tabir.

“Hal ini kerana kedua-dua figura yang kami gabungkan iaitu M.Nasir dan Hattan mempunyai aura yang sangat kuat dan mampu membuatkan para penonton yang hadir kelak untuk sama-sama merasai aura yang sama.

“Jadi untuk memastikan kolaborasi ini sempurna, teknikal perlu sama hebat dengan penghiburnya,”ujar Pengarah Westzone Entertainment, Aiman.