Dua penyanyi yang cukup tidak asing memiliki kemerduan suara tersendiri, Ezad Lazim dan Salma Asis tampil dengan lagu duet berjudul Akira.

Salma mengakui bukan mudah mendendangkan lagu berentak hindustan dan dia sebaliknya perlu memperhalusi terutama aspek suara harmoni agar nyanyiannya bersama Ezad saling melengkapi.

“Kekuatan lagu ini adalah lirik dan konsep sebab lagu ini ala-ala hindustan. Keunikannya juga la yang berjaya membuka hati saya untuk setuju menyanyikannya.

“Cabaran terbesar adalah setarakan suara saya dan Ezad. Sejujurnya pada saya suara Ezad sudah semula jadi merdu dan saya kena merdukan suara supaya nampak harmoni dan serasi dengannya.

“Saya tak boleh nyanyi macam saya lakukan selalu untuk lagu ini. Corak nyanyian saya perlu kena ikut gaya dan mesti kedengaran lenggok hindustan itu,” katanya.

Menariknya, lagu Akira ini dihasilkan sebagai runut bunyi drama bersiri Akira Khan yang diadaptasi daripada karya Siti Rosmizah.

Drama yang mengisi slot Astro Mega Drama di Astro Ria itu dibintangi pelakon hebat termasuk Uqasha Senrose, Kamal Adli, Maria Farida, Isma Daniel, Julia Hana, Idzham Ismail, dan ramai lagi,

Berpengalaman luas dalam bidang seni suara, Ezad mengakui penting untuknya mendalami isi penceritaan drama itu.

Dia bahkan bertanya dengan pengarah Akira Khan iaitu Jamal Khan terlebih dahulu supaya dapat faham serta salurkan isi hati ke dalam lagu ini.

“Kebetulan saya sudah tahu mengenai drama ini ketika mereka masih dalam penggambaran. Saya sempat bertanya sinopsisnya pada Jamal dan saya amat tertarik.

“Saya tak sangka rezeki saya bila dipilih untuk menyanyikan lagu ini. Saya terus setuju kerana saya sudah dapat menggambarkan emosi lagu bila disatukan dengan jalan cerita drama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ezad juga memberitahu cabaran utama adalah untuk mengharmonikan gabungan antaranya dan Salma selain mereka diminta untuk menerapkan sedikit elemen hindi dalam penghayatan mereka.

Menggalas tanggungjawab sebagai komposernya pula, Pjay bersyukur dapat menyiapkan lagu ini dalam tempoh masa kurang seminggu bersama Bael0n.

“Penghasilan lagu agak mencabar sebabnya kami hanya ada lima hari saja untuk siapkan pembikinannya. Itu pun siap berunding lagu. Kalau tak ada tiga hari saja masa diberi untuk siapkan. Dengan ada Bael0n, dia sangat membantu proses penulisan.

“Alhamdulillah berjaya juga kami siapkan lagu ini dalam masa yang sangat singkat. Bersyukur juga dapat bekerja dengan penyanyi yang sangat sangat profesional.

“Afif Tirmizie pun banyak membantu waktu rakaman vokal dan lancarkan lagi perjalanan rakaman keseluruhan,” katanya.

Lagu Akira boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.