Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BERITA

Gadis 21 Tahun Kahwin Tipu Sebanyak 12 Kali

Gempak 08/05/2025 | 16:00 MYT
Gadis ini baru berusia 21 tahun, namun dia sudah berkahwin sebanyak 12 kali yang hanya bertahan selama beberapa jam.

Pemilik nama sebenar Gulshana Riaz Khan yang digelar sebagai Daku Dulhan di India ini mempunyai beberapa identiti ketika dia menipu pengantin lelakinya.

Setiap perkahwinannya akan berakhir dengan tragedi penculikan seperti dalam babak filem.

Daku Dulhan berpura-pura dilarikan oleh sekumpulan lelaki bersama item berharga termasuk wang tunai dan barang kemas dan kemudiannya hilang tanpa jejak.

Tetapi, Gulshana akhirnya berjaya diberkas pihak berkuasa bersama lapan geng yang bersubahat dengannya pada minggu lalu.

"Kami menahan mereka ketika geng itu cuba melakukan taktik penipuan serupa di Haryana untuk perkahwinan palsu. Kami bertindak segera mendirikan sekatan jalan raya," ujar jurucakap polis Ambedkar Nagar di Uttar Pradesh, Keshav Kumar.

Menurutnya, Gulshana mengakui dia telah menipu 12 keluarga menggunakan modus operandi sama selain menukar identiti dan lokasi.

"Dia akan mendekati keluarga yang sukar mencari jodoh sesuai untuk anak mereka dan memperdaya mangsa dengan sejumlah bayaran," jelas Kumar lagi.

Difahamkan, kesemua suspek berdepan tuduhan melakukan penipuan, terlibat konspirasi dan pemalsuan serta siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti mangsa lain serta rakan subahat yang mungkin terbabit jenayah itu.

Sumber: Sinar Harian

#Kahwin #India #Gadis #banyak