Hiburan
The Gadys Takkan Lupakan Memori Viral ‘Fujiyama’, Syukur Dah Tak Ramai Kecam – “Dah Imun Dalam Badan”
Kumpulan The Gadys mengakui kontroversi persembahan membawakan lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia di Anugerah KNKV Viral 2024 membuat mereka lebih kebal sepanjang tahun ini.
Pergi Mana-Mana Orang Cakap Fujiyama...Fujiyama
Menurut kumpulan yang dianggotai Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan itu mereka mengambil positif serta menjadikan ia sebagai pengajaran.
“Pergi mana-mana orang cakap Fujiyama, Fujiyama. Tapi kami ambil itu sebagai gurauan saja.
“Dah tak banyak dah sekarang (kecaman), dulu saja banyak. Sekarang makin berkurang tapi ada saja yang masih komen benda yang sama.
“Kami okay, perkara itu mungkin kami boleh kata ‘immune’ dalam badan. Sebab nak kembali dan menidakkan kata-kata mereka memang tidak boleh juga,” ujar mereka kepada Gempak.
Takkan Lupakan Memori
Enggan dibayangi igauan ngeri itu lagi, The Gadys bertekad mahu memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang mereka lakukan.
“Yang mana yang buruk kita perbaiki, yang baik juga perlu diperbaiki lagi.
“Kami tak mahu buang memori itu sebab kita rasa itu satu pengajaran dan permulaan bagi The Gadys.
“Kami takkan lupakan memori itu,” ujar mereka lagi.
Bullseye Cerita Perjalanan The Gadys
Menawan hati peminat menerusi single terbaru berjudul Bullseye, The Gadys teruja dengan sambutan pendengar terhadap genre dan konsep lagu tersebut.
"Single terbaru ini ibarat gambaran perjalanan The Gadys. Dari lima orang, kami jadi empat orang, selepas itu bertiga dan sekarang kekal bertiga.
"Setiap liriknya menjurus terus mengenai The Gadys, jatuh bangun The Gadys dalam industri sampai ke hari ini.
"Alhamdulillah... penerimaan pendengar pun bagus. Kami baca komen di YouTube semuanya sangat positif. Mereka cakap genre ini satu genre baru," kata Ayunie.