Gagal Ke Pentas Akhir AJL, Khai Bahar Minta Maaf Kepada Peminat - “Bukan Saja-Saja Tak Nak All Out”
16/11/2024 04:55 MYT
Penyanyi, Khai Bahar memohon maaf kepada peminatnya kerana tidak dapat memberikan persembahan yang terbaik di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 39 (SFMM39) pada Jumaat.
Menurut Khai, dia sudah lakukan sehabis baik untuk menyampaikan lagu Lemas namun baginya usaha itu seperti belum mencukupi kerana faktor kesihatannya yang tidak mengizinkan.
“Maaf semua tak dapat bagi 100% untuk lagu Lemas, atas faktor suara masih belum pulih sepenuhnya.
“Selalu bila suara macam ini ambil masa 3 bulan, bukan saja-saja tak nak all out. Itu dah habis baik saya buat,” Kata Khai.
ARTIKEL BERKAITAN: Puas Sudah, Aura, Hening Rindu, Terus Bersinar Layak Ke AJL39! Jom Semak Senarai Penuh Peserta
ARTIKEL BERKAITAN: Ernie Zakri Kecewa Belakang Tabir Tidak Berjaya Mara Ke AJL39 - “Kita Kehilangan Satu Lagu Yang Bagus”
Pelantun lagu Bayang akur dengan keputusan juri apabila dia tidak berjaya melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
Pada masa sama, dia juga meminta peminat untuk mendoakan suaranya segera pulih.
“Itu semua atas keputusan juri, kalau boleh saya sendiri nak buat persembahan yang terbaik walau tak ada rezeki ke final.
“Doakan suara saya cepat pulih ok, tak mahu marah-marah,” tambahnya lagi.
Untuk info, 10 lagu yang menempatkan diri ke AJL39 adalah lagu Sengaja nyanyian Amir Masdi, Puas Sudah nyanyian Aina Abdul, Aura nyanyian Ernie Zakri, Terus Bersinar nyanyian Hafiz Suip.
Saksama (Akim & The Majistret), Hening Rindu (Marsha Milan), Pujaanku (Masdo & Aisyah Aziz), Bukan Lagi Kita (Nadeera), Risiko (Benzoloo, Tuju, MK-Kclique) dan Diam (Hael Husaini) turut menepati ramalan layak ke AJL39.
Lebih menarik dan hangat, buat kali pertamanya Muzik-Muzik 39 Separuh Akhir mempersembahkan hanya 10 lagu terbaik sahaja akan terpilih untuk bersaing di pentas AJL 39.