Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BERITA

“Galakkan Maksiat? Baik Saya Selamatkan Bayi-Bayi Tu Daripada Dibuang atau Dibunuh!” – Iesya Toh

Fiza Kamarudin 23/08/2019 | 01:24 MYT

Pengacara Iesya sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk membela gadis remaja hamil luar nikah dengan memberi perlindungan kepada mereka sehingga bayi dilahirkan.

Iesya ketika dihubungi Gempak berkata, dia terpanggil untuk membantu golongan tersebut kerana tidak sanggup lagi melihat bayi tidak berdosa dibuang dan lebih kejam, dibunuh!

“Apalah dosa bayi-bayi tersebut sehingga dibunuh dan dibuang merata-rata sehingga merisikokan nyawa mereka.

“Amanah Allah perlu dijaga sebaiknya dan saya dah tak sanggup lagi nak mendengar cerita buang bayi di surat khabar dan televisyen,” katanya.

Tambah Iesya, sebelum ini ada juga yang tidak bersetuju dengan tindakannya memberi perlindungan kepada remaja hamil luar nikah.

Ada juga yang sehingga sanggup menuduh dirinya sebagai penggalak maksiat!

“Galakkan maksiat? Lebih baik saya selamatkan bayi-bayi yang tidak berdosa itu daripada dibuang atau dibunuh!

"Tidak mengapa kepada yang berfikiran negatif seperti itu. Jika mereka memandang apa yang saya buat ini dari sudut berbeza pasti mereka nampak.

“Alhamdulillah, setakat ini gadis-gadis yang ‘diselamatkan’ sudah pun melahirkan bayi-bayi comel dan mendapat pembelaan sewajarnya.

“Kasihan, kebanyakan mereka disisihkan keluarga sendiri selepas menjadi mangsa dan ditipu,” katanya.

Presiden Wanita Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ini mengakui kerap mendapat mesej daripada gadis yang mengalami nasib sebegitu dalam laman sosial.

“Mereka menghantar mesej langsung (DM) pada saya ketika hamil dan saya pernah menilai kelakuan mereka.

“Saya juga sering berkomunikasi dengan mereka sebagai satu bentuk sokongan kepada mereka agar tidak tersisih dalam masyarakat,” katanya.

Tambahnya lagi, setiap seorang ibu di rumah perlindungannya ada penjaga sendiri. Segala kos rawatan klinik, makan minum hinggalah mereka melahirkan di hospital, ditanggung Iesya dengan menggunakan duit simpanan sendiri.

“Ini adalah jihad saya. Semoga usaha yang dibuat ini sedikit sebanyak dapat membendung kejadian buang bayi berulang pada masa depan.

“Semoga apa yang berlaku kepada mereka juga dapat dijadikan pengajaran dan tidak akan berulang lagi di masa hadapan,” ujarnya.

#Penyanyi #Pengacara #Penyanyi #Iesya Toh